Healing level kayangan memburu Empurau : Memancing, memasak dan makan di Lepau Uten
Jessica (kanan) bersama ikan empurau yang berjaya ditangkap di Sungai Belaga. Gambar ihsan Urun Belaga Discovery |
Oleh Sudan Ajang
Lepau Uten, Long Urun di Ulu Belaga mempunyai segala-galanya untuk anda yang mahukan ‘healing’ bersama alam semula jadi.
Banyak ‘permata tersembunyi’ di sini menunggu untuk diterokai, khususnya bagi yang meminati aktiviti memancing, berkayak, mandi-manda di sungai dan air terjun, berkhemah, mendaki dan treking.
Bagi pemancing tegar ikan air tawar, ia umpama syurga yang harus dilawat sekurang-kurangnya sekali dalam hidup.
Lepau Uten dalam bahasa Kenyah yang bermaksud pondok uten adalah satu-satunya inap desa yang terletak di antara Banjaran Dulit yang memisahkan bahagian Tinjar dan Belaga.
Menatap beberapa keping gambar hutan belantara yang masih terpelihara keasliannya, selain sungai jernih yang kaya dengan pelbagai spesies ikan air tawar seperti semah dan tengadak sudah membuatkan perasaan anda meronta-ronta mahu ke sana.
Ketika cuaca panas terik membahang di kawasan bandar, alangkah nyamannya berendam dan menyejukkan badan di celah-celah batu air terjun sambil menghirup udara segar.
Tak kiralah jika anda datang untuk ‘healing’ atau membuat ‘content’, setiap sudut di Lepau Uten mempunyai tarikan tersendiri yang tidak terdapat di tempat lain.
Malah ramai pengguna media sosial turut berkongsi keindahan dan keseronokan tempat ini di pelantar media sosial seperti Facebook dan Tik Tok.
Bukan ‘adventure’ yang begitu-begitu saja
Jika mahu ‘adventure’ yang bukan begitu-begitu saja, maka Lepau Uten adalah destinasi yang paling sesuai untuk menaikkan adrenalin anda.
Pemilik inap desa, Jessica Lian berkata kawasan yang dikelilingi hutan dan sungai yang bersih dan udara segar bebas daripada pencemaran, menjadikan ia pilihan utama pengunjung untuk menenangkan minda mereka dan jauh dari kesibukan hidup di bandar.
“Pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan disini antaranya mandi-manda, berkelah tepi sungai, berkayak, memancing (catch and release konsep), jungle trekking ke air terjun Tepin yang setinggi 80 kaki dan memancing ikan baung di Batu Melintang (Cross Rock).”
“Pada tahun 2020, datuk saya sendiri pernah menangkap empurau seberat 15 kilogram di hulu Batu Melintang. Ikan empurau sangat jarang ditemui di sungai ini.”
“Selain itu ikan semah atau palau (dalam Bahasa Kenyah), tengadak, lajong dan baung antara ikan yang lebih sedap dan mudah didapati di sini.
Sungai Belaga yang jernih sesuai menjadi tumpuan untuk aktiviti riadah. Gambar ihsan Urun Belaga Discovery |
Rata-rata pengunjung juga mengatakan isi ikan di sungai ini amat sedap dan manis terutamanya ikan semah,” katanya ketika dihubungi Borneo Network.
Bagi pengunjung yang mahukan aktiviti yang lebih lasak, Lepau Uten juga menyediakan trip mendaki dan berkhemah ke Sungai Lobang yang terletak di bahagian Tinjar, Baram.
“Menariknya untuk sampai ke sana, pengunjung akan melalui jalan balak lama yang telah ditinggalkan hampir sedekad untuk merasakan pengalaman berada di pertengahan antara Tinjar dan Belaga.”
“Pendakian ini dianggarkan mengambil masa selama dua jam daripada Lepau Uten,” katanya.
Jessica menambah, Lepau Uten mempunyai dua bilik besar yang boleh memuatkan 20 orang sekaligus dalam satu masa.
Penginapannya begitu selesa dengan pemandangan Sungai Belaga. Selain itu, pengunjung turut disajikan dengan masakan kampung.
Selain itu, terdapat juga tapak khemah dan pondok untuk disewa bagi mereka yang ingin pengalaman yang lebih mencabar dan jimat kos.
Meskipun inap desa ini terletak jauh di tengah hutan, pengunjung juga boleh menikmati Connectme internet dengan harga yang berpatutan.
Bagaimana ke Lepau Uten?
Katanya, untuk sampai ke Lepau Uten, pengunjung perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) melalui offroad - jalan tanah hitam, jalan ladang sawit serta beberapa anak sungai.
Pilihan pertama pengunjung boleh memandu sendiri 4WD terus ke Lepau Uten sama ada dari Bintulu atau Miri ke simpang Bakun/Sungai Asap. Dari sana, pengunjung perlu memandu sekitar 35 minit melintasi Highway Cafe di sebelah kanan sehinggalah sampai ke simpang ke Long Urun atau Lepau Uten di kiri jalan.
“Keseluruhan perjalanan mengambil masa lima hingga enam jam bergantung dengan keadaan cuaca. Pemanduan perlu mengikut arahan selain sentiasa memandu di lorong kiri.”
“Bagi yang tidak mempunyai 4WD, kami menyediakan pengangkutan dari Bintulu dan Miri dengan kos antara RM1,800 hingga RM2,000 untuk perjalanan pergi dan balik. Pengunjung juga boleh meninggalkan kereta di Highway Cafe dan meneruskan perjalanan ke Long Urun/Lepau Uten menggunakan pengangkutan kami,” katanya.
Laluan offroad yang berlumpur dan licin selepas hujan lebat, namun berdebu ketika panas.
Menurut Jessica, pengunjung boleh datang ke Lepau Uten pada bila-bila masa tanpa mengira musim hujan atau pun kemarau.
Pemandangan udara sekitar Lepau Uten, Long Urun di Ulu Belaga yang mendamaikan pada waktu pagi. Gambar ihsan Sarawak Tourism Board |
“Tiada masa yang terbaik kerana ia bergantung dengan aktiviti yang digemari pengunjung itu sendiri.”
“Namun bagi saya musim kemarau yang paling seronok kerana airnya jernih. Namun musim hujan pun seronok kerana air besar sesuai untuk aktiviti memancing ikan baung,” katanya.
Beliau berharap, eko pelancongan ini bukan hanya menjana sumber pendapatan penduduk tempatan namun memastikan sungai dan alam semula jadi di Ulu Belaga terus kekal terpelihara dan dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
Sumber: Laporan Sudan Ajang Dan Gambar Kredit Sarawak Tourism Board & Urun Belaga Discovery