Fadillah umum RM50 ribu, bantu pendidikan anak-anak Kayan
MIRI— Datuk Seri Fadillah Yusof membawa khabar gembira kepada masyarakat Kayan dalam lawatan pertamanya ke Miri sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dengan mengumumkan geran pemula berjumlah RM50,000 untuk program pendidikan Persatuan Kayan Sarawak (PKS).
“Geran ini adalah bantuan awal daripada saya dan selebihnya kita akan berbincang secara spesifik program untuk membantu meningkatkan kemahiran dan vokasional di kalangan anak-anak Kayan.”
“Kerajaan di peringkat persekutuan sentiasa komited menyokong apa sahaja program pendidikan dan kemahiran di bawah persatuan,"katanya berucap pada majlis makan malam atau Pahlung Lamei Ledoh anjuran Persatuan Kayan Sarawak di Meritz Hotel malam tadi.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi sehubungan itu meminta Persatuan Kayan Sarawak mengemukakan cadangan mengenai program pendidikan, kemahiran atau vokasional yang bersesuaian.
“Saya di Kementerian Perladangan dan Komoditi mempunyai institusi untuk melatih pakar dalam perladangan. Berikan cadangan dan pihak kami akan berbincang program yang dapat dibangunkan untuk melahirkan anak-anak Sarawak yang berkemahiran,” katanya.
Mengenai undangan untuk menghadiri majlis Pahlung Lamei Ledoh, Fadillah melahirkan rasa terharu dengan sambutan terutama masyarakat Orang Ulu yang begitu terkenal dengan layanan mesra kepada tetamu.
"Saya seronok melihat begitu ramai anda berkumpul di sini menunjukkan kesatuan dan perpaduan rakyat Sarawak yang menjadi kekuatan dan kebanggaan kita."
"Inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Miri sebagai TPM. Sejak era pemerintahan Barisan Nasional, kita tak pernah terfikir malah bermimpi akan punya jawatan ini dari Sarawak.”
“Namun apa yang kita dapat pelajari, di sebalik pergolakkan politik di Semenanjung membuka peluang untuk Sarawak mendapat jawatan ini.”
"Kesedaran timbul disebabkan perjuangan kepimpinan Sarawak yang begitu lantang daripada Tok Nan (Pehin Sri Tan Sri Adenan Satem) diikuti Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menuntut Perjanjian 63 (MA63) untuk mengembalikan hak Sarawak dan Sabah yang terhakis.”
Fadillah berkata, beberapa tuntutan melibatkan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih dalam proses rundingan dan perbincangan.
“Perkara yang paling sukar ialah tuntutan lebih 30 peratus kerusi di Dewan Rakyat yang mesti diagihkan untuk Sabah dan Sarawak. Selain itu beberapa perkara yang sedang kita runding dan bincangkan. Insya-Allah, perkara ini akan kita muktamadkan sedikit demi sedikit," jelasnya.
Hadir sama presiden merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau,
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh) Imigresen &Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus dan Ketua Masyarakat Kayan, Temenggong Elizabeth Deng.
Majlis yang bertemakan 'Pehugun, Pepayak,Pepju' atau sama-sama membangun bagi menandakan berakhirnya musim menuai tersebut dihadiri tujuh cawangan PKS dari Sungai Asap, Belaga, Kuching, Miri, Marudi, Bintulu dan Nahah A.
Pada majlis tersebut Fadillah diberi penghormatan lagu pemberkatan atau parap/tekna dalam bahasa Kayan selain dicalit dengan arang (pusut angah).
📸Jabatan Penerangan Sarawak