Dua individu ditahan disyaki beri suapan untuk dapatkan laporan perubatan pekerja warga asing.
MIRI -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman dua individu kerana disyaki memberi suapan bagi mengeluarkan laporan kesihatan dari sebuah klinik membabitkan dua warga asing yang masih berada di depoh tahanan di sebuah daerah di Miri, Sarawak.
Menurut sumber, suspek pertama seorang wanita berusia 30-an, yang merupakan orang tengah kepada syarikat tersebut dipercayai melakukan perbuatan itu pada Februari dan Mac 2020 telah ditahan kira-kira jam 8 malam pada 10 Mei 2023 di pejabat SPRM Miri.
Manakala suspek kedua seorang lelaki berusia 40-an yang merupakan pemilik syarikat tersebut pula dipercayai ditahan pada kira-kira jam 3 petang, semalam di pejabat SPRM, Miri.
Sumber berkata, SPRM dipercayai masih menyiasat bagaimana kedua-dua suspek berjaya mengeluarkan laporan perubatan tersebut tanpa memerlukan kehadiran warga asing untuk diperiksa secara bersemuka sedangkan mereka ditahan di depoh tahanan.
Perintah reman bagi suspek pertama adalah selama 3 hari bermula 11 hingga 14 Mei 2023 manakala suspek kedua selama 2 hari bermula 12 hingga14 Mei 2023, telah dikeluarkan oleh Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi, di Mahkamah Majistret Miri.
Sementara itu Pengarah SPRM Sarawak, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(b) (A) Akta SPRM 2009.