Cuba curi penyaman udara, lelaki dicekup orang awam
KUCHING-- Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Begitulah nasib seorang pemuda apabila dicekup orang ramai ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di Demak Laut di sini hari ini.
Menurut sumber, suspek ditangkap orang awam selepas menyedari perbuatannya itu yang dikatakan cuba mencuri penyaman udara di sebuah rumah di situ.
"Perbuatan suspek yang dikatakan cuba mencuri penyaman udara disedari orang awam sebelum bertindak menangkap suspek," katanya.
Selepas itu, pihak polis dihubungi dan dimaklumkan berhubung kejadian tersebut.
Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Difahamkan pihak ambulans turut tiba di lokasi bagi merawat suspek yang cedera ketika cubaan melarikan diri daripada ditangkap orang awam.
Kes masih dalam siasatan.