Abang Jo terbang ke LIMA naik pesawat guna bahanapi berasaskan alga
KUCHING-- Sarawak mencipta sejarah dalam industri penerbangan apabila pesawat syarikat penerbangan berpangkalan di negara Latvia, airBaltic A220-300 menggunakan bahanapi pesawat lestari (SAF) berasaskan alga buat pertama kali di Malaysia.
Pesawat yang dinaiki Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi sekitar jam 1.45 petang tadi sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23).
Abang Johari pada sidang media sebelum menyaksikan pesawat airBaltic A220-300 mengisi SAF di LTAK hari ini berkata, pesawat berkenaan merupakan yang pertama menggunakan SAF berasaskan bahan bakar dari pemprosesan alga.
“Hari ini saya diberi peluang untuk menggunakan kapal terbang pertama yang menggunakan bahan api ini, dan berharap agar ia berjalan lancar,” katanya.
Jelasnya, kerjasama penyelidikan antara pihak PETRONAS dan Sarawak dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Energy dalam pengeluaran Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) akan memperkuatkan lagi usaha untuk membangunkan produk itu sebagai suatu komoditi.
Dalam mempastikan Sarawak maju ke hadapan, katanya kerajaan Sarawak bersedia meneroka semua teknologi sedia ada yang terbukti menghasilkan bahan api yang mampan.
“Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada Petronas kerana menjadi rakan kongsi dari segi penerokaan teknologi baharu bersama SEDC Energy,” ujarnya.
Untuk rekod, 300 juta liter SAF dihasilkan melalui pelbagai teknologi dalam tahun 2022, dan semakin banyak syarikat penerbangan antarabangsa seperti British Airways, Delta Airlines, KLM, United Airlines, Virgin Atlantic, Alaska Airlines, American Airlines, British Airways, Finnair, Japan Airlines dan Qatar Airways menyatakan komitmen untuk menggunakan SAF ke arah sistem pengangkutan udara yang lebih mesra alam.
Usaha untuk mewujudkan langit bersih (clean skies) telah digiatkan semasa Forum Ekonomi Sedunia (WEF) pada bulan September 2021 menyaksikan 60 syarikat antarabangsa menyatakan komitmen menjayakan usaha menggunakan SAF melibatkan penerbangan seluruh dunia, lapangan terbang, pembekal minyak, pelayar penerbangan, dan syarikat-bukan berasaskan penerbangan yang bergantung-harap terhadap khidmat pesawat udara.
Malahan, syarikat kurier dan penghantaran barangan gergasi seperti DHL Express sudah menyatakan persetujuan membeli 800 juta liter SAF dari BP dan Neste dalam jangkamasa lima tahun.
Sumber: Gambar Ihsan UKAS