10 acara utama sempena 60 tahun Sarawak Merdeka
KUCHING-- Sepuluh acara utama bakal berlangsung bermula 26 Mei 2023 hingga 19 Ogos 2023 bersempena sambutan 60 tahun Sarawak Merdeka.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata dengan bertemakan Sarawak Maju Makmur, sepuluh acara utama yang akan dilangsungkan adalah konvoi Kembara Sarawak Merdeka, pameran digital 60 tahun Sarawak, sambutan perayaan Gawai Dayak peringkat negeri, majlis kesyukuran perdana, perhimpunan dan perarakan serta pengurniaan pingat penghargaan.
"Turut akan diadakan majlis jamuan negeri, konsert rakyat dan persembahan bunga api, perarakan kapal berhias dan perarakan di jalan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azman berkata Konvoi Merdeka akan bermula dari 28 Mei hingga 22 Julai melibatkan 12 bahagian dari Limbang ke Luching.
"Begitu juga dengan pameran digital 60 tahun Sarawak yang akan berlangsung pada tarikh sama di semua 12 bahagian.
"Majlis kesyukuran perdana pula akan diadakan pada 21 Julai melibatkan masjid dan rumah ibadah di semua bahagian, manakala acara kemuncak iaitu perhimpunan dan perarakan akan diadakan pada 22 Julai di Padang Merdeka, Kuching pada 22 Julai 2023.
"Sementara penyampaian pingat penghargaan akan diadakan di Hotel Waterfront," jelasnya.
Tambahnya lagi, majlis jamuan negeri pada sebelah malam pula diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak serta konsert rakyat dan persembahan bunga api di Padang Merdeka, Kuching.
Pada 29 julai pula, katanya akan diadakan perarakan kapal berhias di Tebingan Kuching serta acara perarakan di jalan di sekitar Kuching, Sibu dan Miri iaitu masing-masing pada 5 Ogos, 12 Ogos dan 19 Ogos.
Bagi persiapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak, Azman berkata, sepanjang tempoh aktiviti sambutan 60 tahun Sarawak Merdeka mulai 28 Mei hingga 19 Ogos 2023, seramai 1,457 pegawai dan anggota akan ditugaskan.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang awam terutama yang terlibat dengan aktiviti sambutan 60 tahun Sarawak Merdeka, aktiviti konvoi hendaklah memastikan keselamatan diri dan kenderaan yang digunakan serta mematuhi arahan marshall.
"Orang ramai juga dinasihati untuk mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan harta benda semasa mengahdiri semua aktiviti yang dirancang.
"Pada masa sama, orang awam juga janganlah berasa gusar dan bimbang kerana pihak PDRM akan sentiasa memastikan keselamatan semua pengunjung yang hadir.
"Sambutan 60 tahun Sarawak Merdeka adalah untuk semua rakyat Sarawak, oleh itu sama- sama kita meraikannya dengan penuh semangat perpaduan dan keharmonian," ujarnya.