UiTM guna e-skuter Beam, kurang pencemaran karbon di kampus
KOTA SAMARAHAN-- Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak kampus Samarahan mendukung penggunaan teknologi hijau apabila melancarkan pengangkutan mikro, e-skuter Beam untuk pelajarnya.
Majlis pelancaran penggunaan e-skuter Beam itu disempurnakan Rektor UiTM Cawangan Sarawak Profesor Dato Dr Jamil Hamali di UiTM Kampus Samarahan 1 di sini baru-baru ini.
Beliau memberitahu, e-skuter Beam adalah pengangkutan mikromobiliti untuk pelajar dan staf di Pusat Pelajar Kampus Samarahan.
"Penggunaan e-skuter di Kampus Samarahan dan Kampus Samarahan 2 mula diperkenalkan pada 31 Mac 2023 dan merupakan pelaksanaan fasa pertama.
"Manakala fasa seterusnya pula akan melibatkan Kampus Mukah," katanya.
Jelasnya, pengenalan e-skuter ini merupakan mikromobiliti yang dilihat sebagai penyelesaian terkini yang diambil oleh pihak pengurusan UiTM Cawangan Sarawak.
"Ini adalah dalam usaha kita untuk menyasarkan pembentukan kampus yang lestari dengan menggalakkan penurunan kadar penggunaan karbon di dalam universiti.
"Malah penggunaan e-skuter ini juga dilihat berupaya mencapai matlamat Sustainable Development Goals (SDG)” yang ke-11 yang dilaungkan oleh kerajaan," tambahnya.
Mengulas lanjut, Jamil berkata, sebanyak 150 unit e-skuter beroperasi di Kampus Samarahan dan Kampus Samarahan 2.
"90 buah e-skuter beserta 10 beam stesen berada di Kampus Samarahan.
"Manakala sebanyak 60 unit lagi e-skuter ini dengan 6 beam stesen akan berada di Kampus Samarahan 2.
"Semoga para staf dan pelajar akan menggunakan kemudahan ini dengan sebaiknya," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan supaya sentiasa menitikberatkan kepentingan khususnya terhadap keselamatan diri dan pengguna lain semasa menggunakan e-skuter ini.