Seorang maut, tiga lagi cedera kereta dinaiki rempuh belakang lori
BAU-- Seorang maut dalam nahas jalan raya selepas kereta Proton Saga yang dinaiki hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah lori yang pakir di bahu jalan yang sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan Jalan Pan Borneo di Kilometer 13, Jalan Bau-Lundu petang Rabu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bau ASP Jugah Aleng berkata, dalam kemalangan sekitar jam 1 petang itu, melibatkan kereta Saga yang dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun bersama tiga penumpang dan sebuah lori Isuzu yang dipandu seorang lelaki berusia 50 tahun.
Jelasnya, berdasarkan siasatan di tempat kejadian, lori terbabit dalam keadaan di pakir di bahu jalan dan sedang membuat kerja-kerja pembaikan Jalan Pan Borneo.
"Manakala kereta Saga dalam perjalanan dari arah Lundu menuju ke arah Bau.
"Akibat kemalangan tersebut pemandu lori tidak mengalami apa-apa kecederaan manakala pemandu kereta Saga mengalami kecederaan luka di tangan kanan, luka di kaki kiri/kanan dan pendarahan dalam perut.
"Penumpang hadapan mengalami kecederaan cedera di kepala, seorang penumpang belakang cedera di kepala dan seorang lagi penumpang belakang mengalami cedera dalaman dan disahkan meninggal di Wad Kecemasan Hospital Bau oleh doktor yg merawat," katanya dalam kenyataan semalam.
Tambahnya, mangsa-mangsa yang cedera masih menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Bau dan dirujuk ke Hospital Umum Kuching Sarawak pada hari yang sama dan dibawa menggunakan Ambulan Hospital Bau.
Mengulas lanjut, Jugah berkata, siasatan awal mendapati kereta Saga terbabit dipercayai hilang kawalan sehingga melanggar lori yang diletakkan di bahu jalan.
Tegasnya, kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.