Sebulan sampah tidak dikutip, keluh seorang penduduk Samarahan
KOTA SAMARAHAN-- Isu kutipan sampah di sini bagaikan tiada penghujung berikutan masalah tersebut terus menghantui penduduk di sekitar sini terutamanya kawasan komersial dan perumahan.
Rungutan itu disuarakan seorang peniaga di sebuah kawasan komersial di Kota Samarahan menerusi Facebooknya, Patz Mering yang memaklumkan sudah empat minggu sampah di kawasan tersebut tidak dikutip.
"(Sudah masuk) 3 April 2023, di mana lagi tempat mengadu, empat minggu sudah sampah tidak dikutip pihak bertanggungjawab," katanya.
Jelasnya lagi, dia juga telah membuat aduan tentang masalah tersebut kepada Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) namun hingga kini tiada tindakan diambil.
"Entah di mana lagi nak buat aduan lagi tentang perkara ini," ujarnya.
Lebih menyedihkan, katanya, kakitangan pihak berkuasa tempatan ketika menerima aduan itu hanya berkata "Oh ada banyak orang sudah mengadu".
"Itu saja jawapan dari mereka minggu lepas tetapi masih juga sampah melonggok... Entah di mana lagi (nak buat aduan)," kesalnya.
Pada awal tahun ini, Pengerusi MPKS Dato Peter Minos menegaskan beliau memberi jaminan masalah kutipan sampah di Samarahan akan selesai 16 Januari lalu.
Jelasnya, masalah ini berpunca daripada penutupan tapak pelupusan sampah di Kampung Plaie, Samarahan.
Berikutan penutupan itu katanya, sampah yang dikutip dilupuskan jauh ke tapak pelupusan sampah Trienekens yang terletak di Mambong, Padawan.
“MPKS sudah bertemu dengan kontraktor dan selaraskan semula masa dan jadual kutipan sampah yang mana praktikal dan boleh dilaksanakan.
“Ini sepatutnya menyelesaikan masalah kelewatan disebabkan jarak yang jauh serta lori beratur panjang sebelum sampah dilupuskan," katanya.
Bagi memastikan masalah sama tidak berulang, Minos mengingatkan kontraktor untuk mematuhi peraturan baru dengan tegas.
Kegagalan berbuat demikian katanya MPKS akan menyemak semula kontrak kerana kepentingan awam adalah keutamaan MPKS.