Perahu karam di Kapit, 1 hilang, 3 selamat


KAPIT-- Tiga selamat manakala seorang lagi hilang selepas perahu dinaiki karam akibat ombak kuat ketika keluar menangkap ikan di ulu sungai Putai di sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa yang hilang dikenali Bon Albert,58.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam
3 petang ini.

"Mereka keluar menangkap ikan pada jam 9 malam tadi, perahu yang mereka naiki tiba-tiba dimasuki air bah dan cuaca hujan renyai ketika kejadian.

"Keadaan air sungai juga berombak akibat angin kuat yang menyebabkan perahu terbalik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, usaha mereka untuk mencari mangsa masih gagal sehinggalah laporan polis dibuat.

"Perjalanan darat dari Bandar Kapit ke Rumah Tajai mengambil masa dua jam lebih dan perjalanan sungai menggunakan perahu panjang dari Rumah Tajai juga mengambil masa dua jam lebih ke lokasi kejadian.

"Pasukan bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit yang di ketuai Ketua Balai Timoty telah pergi ke IPD Kapit untuk mendengar taklimat dan mengambil maklumat terperinci mengenai status kejadian mangsa lemas tersebut," katanya.

Katanya, operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) akan dimulakan esok hari berikutan jarak perjalanan ke lokasi menggunakan jalan perhubungan air sungai Batang Rajang dan memakan masa lebih kurang anggaran empat jam melalui sungai Batang Baleh (2 jam ) seterusnya melalui anak sungai Batang Putai ke hulu (2 jam).
Next Post Previous Post