Penjaja katak, ikan, sayur dari rumah-rumah ganggu ketenteraman
KAPIT - LIMA DEKAD terpencil dan sukar dilawati, hari ini sesiapapun jua boleh datang ke bandar ini jika mempunyai motosikal atau apa jua jenis kereta tanpa mengira masa.
Selepas 50 tahun terpisah dari Tanah Besar Sarawak dan cuma dihubungi oleh bot ekspress dan tongkang pembawa keperluan, bandar Kapit kini rancak menjalani proses urbanisasi.
Jika dahulu, penduduk mungkin kenal semua individu yang berkerja sebagai penjaja mencari nafkah menjual dari pintu ke pintu, hari ini suasananya sudah jauh berbeza.
Dengan adanya sistem jalan raya yang semakin baik, taraf hidup yang semakin meningkat - orang Kapit yang sememangnya dari dahulu cukup terkenal berduit dan serba ada dari segi kewangan menjadi sasaran penjaja agresif yang menjejaskan keharmonian hidup mereka.
“Kalau pun hendak berjual sayur, ikan, katak atau barang lain.., datanglah awal pagi atau waktu petang., janganlah waktu tengah hari ketika orang sedang berehat.”
Itu luahan penduduk di kawasan perumahan di Jalan Bukit Goram berikutan kemunculan penjaja dari pintu ke pintu di kawasan berkenaan.
Berkongsi kisah di laman Buletin Kapit,Sarawak semalam, salah seorang penduduk meluahkan rasa kurang senang dengan kehadiran penjaja yang datang pada waktu tengah hari untuk menjual sayur-sayuran, ikan dan barangan lain.
“Mereka terjerit-jerit di hadapan rumah dan masuk pagar rumah orang sesuka hati.”
“Penjaja tersebut langsung tidak memikirkan penghuni rumah yang mahu berehat tetapi terpaksa meluangkan masa untuk melayan mereka,” luahnya.
Bagi sesetengah suri rumah pula, ada yang sedang bersusah-payah menidurkan bayi pada waktu itu namun diganggu suara teriakan penjaja yang mahu melariskan barangan mereka.
Kehadiran penjaja tersebut bukan hanya mengganggu, malah penduduk kini berasa bimbang dengan keselamatan ahli keluarga yang tinggal di rumah.
“Kami risau isteri dan anak kami ditipu dan kena pukau. Apatah lagi mereka datang mengejut dan bebas keluar masuk kawasan rumah orang.
“Tindakan ini tidak menyenangkan dan saya harap selepas ini mereka faham,” katanya.
Aduan ini turut mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
“Sesetengah penjaja ini membuatkan kita berasa geram. Ada yang sanggup mengetuk pintu bertalu-talu menunggu dibuka, sanggup membuka pagar sambil terjerit-jerit. Sekiranya orang tidak keluar atau membuka pintu, maksudnya tak mahu beli lah. Mungkin sudah beli di pasar awal pagi,” coret Ebby Presilla.
“Pemilik rumah boleh meletakkan notis larangan di hadapan pagar untuk peringatan kepada penjaja agar tidak memasuki kawasan rumah. Sekiranya ingkar, mereka boleh dianggap menceroboh. Dengan adanya notis larangan ini, penjaja tidak perlu singgah dan pergi ke rumah lain,” kata Justin Andrew Tysa.
Mengenai cadangan penjaja hanya berjual pada awal pagi dan petang, pengguna media sosial berpendapat ia bukan penyelesaian yang terbaik.
“Mungkin awal pagi penjaja tersebut belum sempat memperolehi barangan jualan. Kalau petang pun, mungkin barangan tersebut sudah rosak. Cara terbaik ialah abaikan sahaja, jangan layan mereka (penjaja),” kata Thomas St.
Gambar hiasan - motosikal penjaja sayur di negara jiran berlatarkan gambar katak jualan di sebuah pasar basah.