Pemandu selamat, lori tangki terbakar di bahagian pemandu selepas rempuh treler
BINTULU-- Sebuah lori tangki minyak dengan muatan diesel terbakar setelah merempuh belakang sebuah lori treler di Kilometer 39 Jalan Pesisir Bintulu-Samalaju pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu sekitar 9.10 pagi tadi dan menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong ke lokasi.
"Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori tangki minyak dengan muatan diesel yang merempuh belakang sebuah lori treler.
"Akibat pelanggaran itu menyebabkan terbakar di bahagian pemandu," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Jelasnya lagi, kebakaran itu melibatkan 40 peratus.
Tambahnya, Ketua Operasi terus membuat "size-up" dan terus mengarahkan anggota untuk bertindak memadam kebakaran tersebut dengan satu aliran 200 kaki, satu nozel foam fb5x dari tangki jentera sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Pasukan BBP Bintulu turut dilokasi untuk membantu.
Mengulas lanjut, PGO memberitahu, pemandu lori tangki dan treler terlibat selamat dan tiada mangsa cedera.
Gambar ehsan Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak