Hampir dibaham buaya ketika memancing dalam parit dekat Taman KOPODIM
MATANG-- Dua sekawan berdepan detik cemas apabila hampir dibaham buaya ketika memancing di tepi parit berdekatan taman perumahan Taman KOPODIM Jalan Matang di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa bersama seorang rakannya pergi ke lokasi itu sekitar jam 2 pagi untuk melihat pancing yang dipasang bagi menjerat labi-labi.
"Secara tiba-tiba seekor buaya (dengan saiz agak besar) cuba menyerang mangsa dan kawannya namun berjaya menyelamatkan diri.
"Sebelum mereka beredar dari kawasan tersebut telah ternampak sepasang selipar warna hitam dan tiga batang kayu berada di tepi parit dan mereka tidak menjumpai sesiapa berada di kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan insiden itu katanya, mangsa tampil membuat laporan untuk rujukan pihak berkenaan.
Mengulas lanjut, Abang Zainal memberitahu, hasil temubual bersama mangsa dan saksi, buaya tersebut dalam anggaran lebih kurang 10 kaki serta saiz dalam anggaran sebesar tong gas.
Tambahnya, perkara tersebut juga telah dimaklumkan kepada pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan lanjut.
Selain itu, katanya, polis juga telah ke lokasi untuk membuat pemantauan di lokasi kejadian.
"Mangsa dan penduduk kawasan sekitar telah dimaklumkan supaya tidak memancing serta berada di kawasan berdekatan parit tersebut kerana buaya dipercayai sangat ganas.
"Pihak SFC akan memanggil PDRM untuk berkolabrasi ops bersama dalam minggu ini," ujarnya.