Berlanggar dengan pikap, wanita temui ajal tersepit dalam MyVi terbalik di penghadang jalan
BINTULU-- Seorang wanita maut selepas Perodua Myvi dipandu terlibat kemalangan dengan sebuah pikap di Jalan Bintulu- Miri, tujuh kilometer dari simpang Bakun dekat sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGO) Sarawak berkata, mereka menerima panggilan berhubung kejadian pada 10.44 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju bergerak ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi penyelamatan.
Katanya, kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu jenis pacuan empat roda Toyota Hilux dan kenderaan jenis Perodua Myvi."
"Pasukan Bomba bertindak mengeluarkan mangsa wanita tersebut yang masih tersepit di bahagian kaki serta dalam keadaan tidak sedarkan diri."
"Pemandu Myvi berusia 49 tahun disahkan maut di lokasi kejadian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi."
"Manakala mangsa dalam kenderaan Toyota Hilux pula telah selamat keluar dari kenderaan sebelum Pasukan Bomba tiba di lokasi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasukan Bomba juga telah menjalankan operasi membersihkan sisa-sisa serpihan kemalangan dan setelah selesai, pasukan Bomba bertolak balik ke balai. Operasi ditamatkan pada jam 12.30 tengah hari.