Batal puasa gara-gara azan awal, penduduk di sebuah kampung di Simunjan terpaksa ganti puasa
KOTA SAMARAHAN-- Gara-gara perbuatan "orang luar" meluangkan azan Maghrib awal daripada waktu sebenar, menyebabkan penduduk di sebuah kampung di Simunjan terpaksa menggantikan puasa mereka.
Difahamkan, insiden tersebut dikatakan berlaku pada empat hari yang lalu menyebabkan penduduk di situ berbuka puasa pada waktu yang awal atau sebelum waktu Maghrib sebenar.
Berikutan itu, Jabatan Mufti Sarawak dalam memorandum rasmi yang tular di WhatsApp berpandangan bahawa puasa bagi penduduk yang terlibat adalah terbatal.
Jelasnya, penduduk di kawasan tersebut diwajibkan untuk diqadha' semula kerana telah berbuka sebelum masuk waktunya.
"Hal ini kerana tempoh berpuasa menurut syarak adalah bermula setelah terbit fajar sehingga terbenamnya matahari dan bukan berakhir dengan laungan azan.
"Firman Allah SWT yang bermaksud: "...dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian, sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib);..." (Surah al-Baqarah, ayat 187).
Sehubungan itu, Jabatan Mufti Sarawak menyarankan agar masyarakat Islam lebih peka dan berhati-hati terutamanya dalam perkara yang berkaitan dengan waktu berbuka puasa.