Ancaman jerebu puluhan juta hektar hutan negara jiran terbakar, Sarawak bersiap sedia

KUCHING-- Kerajaan Sarawak sentiasa bersedia menghadapi cuaca panas luar 
jangka dengan mempertingkatkan usaha di peringkat negeri bagi mencegah pembakaran terbuka serta jerebu dalam negeri yang boleh menjejaskan kualiti udara dan kesihatan awam. 

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni berkata, semua ini mungkin ada kaitan dengan fenomena 'climate change' ataupun perubahan iklim dunia. 

"Oleh itu, Sarawak mengambil langkah yang strategik untuk mengawal fenomena 'climate change' di samping dapat menjanakan sumber pendapatan baru untuk Sarawak. 

"Contohnya, melalui Circular Economy ataupun Ekonomi Kitaran, tenaga hijau serta bersih seperti hidroelektrik, solar, hidrogen, biofuel dan tenaga angin. Selain daripada itu, usaha untuk konservasi hutan yang menyimpan karbon yang diserap daripada udara seterusnya boleh menjana karbon kredit dan juga melalui Carbon Capture Usage and Storage (CCUS) iaitu penangkapan karbon yang dilepaskan oleh industri dan disimpan di dasar lautan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, masyarakat diminta agar tidak melakukan pembakaran terbuka di kawasan tanah-tanah atau premis milik mereka atau dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan berlakunya kebakaran tanah samada dengan tujuan tertentu atau tidak sengaja. 

"Aktiviti pembakaran terbuka ini boleh menyebabkan jerebu berlaku. Kerajaan juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melakukan kesalahan pembakaran terbuka selaras dengan undang-undang sedia ada. 

"Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB)," ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut itu berkata, ketika El Nino melanda pada 1997-1998, cuaca panas dan kering yang melampau menyebabkan hampir 10 juta hektar hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia 
terbakar. 

"Puluhan ribu rakyat negara itu terpaksa menerima rawatan dan beratus kematian dilaporkan, dipercayai berpunca daripada kemerosotan kualiti udara.

"Jerebu yang berlaku pada 1997-1998 di negara ini turut dianggap terburuk dalam sejarah negara hingga menyebabkan hampir seluruh negara seolah-olah diselubungi asap," ujarnya.

Katanya, bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di sesetengah kawasan turut mencapai paras sangat berbahaya sehingga negara terpaksa mengisytiharkan darurat. 

"Ketika jerebu teruk melanda di rantau ini pada 1997-1998, dilaporkan hampir 20 juta orang mengalami pernafasan teruk.

"Kita juga menasihatkan masyarakat supaya mengurangkan aktiviti luar. Cuaca panas memberi tekanan fizikal kepada tubuh manusia. Kesan terhadap kesihatan boleh jadi dari tahap sederhana (mild) kepada yang boleh menyebabkan maut contohnya akibat strok haba," tambahnya.
Next Post Previous Post