Agama berbeza, keluarga sambut raya bersama
NIAH — Walapun berbeza agama, namun sambutan Hari Raya Aidilfitri di kawasan rumah panjang Iban dekat sini tetap meriah.
Satu-satunya keluarga mualaf di Rumah Selan Undau, Sebatuk Niah, Gunong Uteh, 63, berkata tahun ini amat bermakna kerana pertama kali menyambut perayaan itu di rumah baharu berhampiran rumah panjang.
Katanya, walaupun majoriti penduduk dan ahli keluarganya yang lain di situ beragama Kristian, namun perbezaan itu tidak merenggangkan semangat kekeluargaan.
“Saya gembira dan bersyukur kerana dapat berkumpul bersama keluarga dari rumah panjang berhampiran,” katanya ketika ditemui Borneo Network di kediamannya hari ini.
Katanya, sambutan Hari Raya tiada beza dengan sambutan di perkampungan Melayu kerana mereka sekeluarga turut menyediakan ketupat, rendang daging dan masakan kari untuk tetamu.
Selain itu, tetamu turut dihidangkan dengan ayam pansuh.
“Tahun ini kami meraikan Hari Raya dengan penuh sederhana memandangkan kediaman ini belum disambung bekalan elektrik,”kata Gunong sambil menambah buat masa ini kediaman mereka bergantung dengan tenaga solar.