Warga emas melecur kaki kiri, tangan dan muka, rumah didiami musnah terbakar
KUCHING: Seorang warga emas lelaki berusia 73 tahun mengalami kecederaan serta melecur pada bahagian kaki kiri, tangan dan muka selepas kediaman dua tingkat di Lorong Sungai Maong Ulu 3 musnah dalam kebakaran malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak dalam kenyataannya hari ini berkata, seorang lagi mangsa dalam rumah berkenaan yang merupakan warga emas wanita berusia 71 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Sepasukan anggota dari BBP Batu Lintang dan BBP Tabuan Jaya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran pada jam 11.48 malam.
Sejurus sampai, pasukan bomba bertindak menjalankan pemadaman secara 'fire break' menggunakan 2 aliran, 2 pancutan 200 kaki di bahagian kiri dan kanan bangunan bagi menyekat kebakaran merebak ke rumah berhampiran.
"Sementara itu, pasukan bantuan menggunakan 1 aliran, 1 pancutan 300 kaki untuk operasi memadam kebakaran Kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.39 tengah malam," ujar beliau.
Adalah difahamkan bahawa mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Umum Sarawak bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Setelah memastikan keadaan selamat dan tiada lagi berlakunya kebakaran berulang, pasukan bomba bertolak balik semula ke balai pada jam 5.13 pagi.
Gambar PGO Sarawak