Wanita tanggung azab tangan tersepit masin buat kuih
SIBU--Seorang wanita menanggung azab selepas tangannya tersepit dalam mesin membuat kuih di Jalan Sibujaya Komersial Centre Sun Kiong Mini Market di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 4.40 petang itu, mangsa dikenali Chong Huey Yien mengalami kecederaan di tangan kanan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam
4.40 pagi dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Sibujaya ke lokasi kejadian.
"Setibanya di tempat kejadian pihak Bomba terus membuat size-up dan mendapati tangan kanan mangsa tersepit di dalam mesin kuih.
"Pasukan membuka mesin kuih dari mesin utama tersebut bersama pihak ambulans Sibu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa telah distabilkan dan dihantar ke hospital Sibu bersama mesin tersebut.
"Bagi membuka mesin yang masih melekat di tangan mangsa, bantuan dari BBP Sungai Merah telah dihubungi bersama pihak bahagian kecemasan hospital Sibu.
"Tangan mangsa telah berjaya dikeluarkan dan diserahkan pada pihak hospital untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.