Treler bertembung Kelisa, seorang maut
BELURAN-- Seorang lelaki maut dalam nahas jalan raya melibatkan sebuah kereta dan lori treler di Kampung Pelantong di sini pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pemandu kereta jenis Perodua Kelisa yang maut dikenali sebagai Juslin Jussip, 45, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik.
Jelasnya, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar 9.35 pagi tadi dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran ke lokasi kemalangan.
"Komander Operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis treler bertembung dengan perodua Kelisa.
"Terdapat seorang mangsa terlibat dilaporkan tersepit di tempat duduk pemandu perodua Kelisa.
"Pasukan Bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan penyelamatan," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Tambahnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Pemandu lori treler bagaimana pun katanya tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Pemeriksaan di sekitar kawasan dijalankan memastikan tiada bahaya lain wujud dan operasi ditamatkan pada jam 10.30 pagi," ujarnya.