Tidak salah bermimpi, asalkan jangan ganggu Kerajaan Perpaduan - Abun
MIRI-- Perikatan Nasional (PN) boleh terus bermimpi untuk menubuhkan kerajaan baharu dengan syarat - tidak mengganggu Kerajaan Perpaduan.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, ABUN SUI ANYIT berkata, sejak Kerajaan Perpaduan dimuktamadkan pada awal Disember tahun lalu, PN yang telah memilih untuk tidak menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan dilihat gagal memainkan peranannya sebagai pembangkang untuk semak dan imbang kepada Kerajaan.
Abun menambah, mereka dilihat setakat ini bercakap kosong dan lebih kepada memfitnah pemimpin Kerajaan Perpaduan lebih - lebih lagi terhadap Perdana Menteri ke - 10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sama- samalah kita membina negara Malaysia bersama Perdana Menteri yang dihormati dunia dan sedang membawa banyak pelaburan dari luar negara."
"Hentikan juga perbuatan anda mencerca dan menghina pemimpin terutamanya Perdana Menteri."
"Masa Perdana Menteri sepatutnya perlu digunakan untuk bekerja untuk rakyat bukan diganggu oleh karenah perbuatan pemimpin pembangkang yang dilihat lebih kepada memfitnah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abun menambah, selain gagal memainkan peranan semak imbang, pemimpin PN mengaku mereka sedang berusaha untuk mengatur langkah menubuhkan kerajaan yang mereka namakan Kerajaan Atap Bocor pula seperti yang pernah disuarakan oleh YB Hadi Awang, Presiden PAS.
"Kita cuba congak dan tertanya-tanya dari manakah penyokong atau wakil rakyat yang menyokong mereka untuk dapat membentuk Kerajaan Atap Bocor? Siapakah Pengerusi Parti politik yang akan menyokong mereka?"
"Bolehkah wakil rakyat melompat sedangkan Undang-Undang Anti Lompat 2022 sudah dikuatkuasakan?," soalnya.
Ujar Abun, Perdana Menteri bertindak wajar apabila ditanya memberi respon, tidak salah Hadi Awang terus berusaha dan terus mengigau.
"Kami berharap pembangkang PN, tidak perlulah mengkucar-kacirkan minda rakyat dengan angan-angan untuk menubuhkan Kerajaan Tebuk Atap 2.0.
"Tumpukan tenaga dan khidmat anda untuk semak dan imbang kepada Kerajaan. Hormatilah pengundi yang telah mengundi anda yang berharap anda berperanan sebagai wakil rakyat bukan pemfitnah."
"Apabila Perdana Menteri menyaman anda kerana memfitnah beliau, anda pula kata beliau "berdendam","katanya.