Terima kasih atas kepercayaan - Senator Abun Sui Anyit
MIRI— Senator Abun Sui Anyit menzahirkan kesyukuran dan terima kasih selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.
Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak itu turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan masyarakat Sarawak khususnya dari Belaga yang memberikan sokongan.
“Dengan rendah hati, saya menjunjung kasih di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong. Sesungguhnya masyarakat daerah Belaga sangat menghargai pelantikan ini.”
“Saya juga terharu kerana kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar memberi kepercayaan kepada saya memegang jawatan ini. Saya akan melakukan sedaya upaya memikul amanah ini. Saya mohon dokongan dan doa semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abun turut berterima kasih kepada Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak (PKKS), Persatuan Kenyah Badeng Sarawak (KEBANA), Persatuan Kayan Sarawak Cawangan Belaga dan Asap dan Persatuan Komuniti Etnik Kajang Sarawak (PKEKS) di atas ucapan tahniah yang diberikan.
“Selain semua baik individu dan organisasi yang mungkin saya tidak dapat sebutkan satu-persatu,” katanya.