Semakin ramai Anak Sarawak berbakti melalui bomba sukarela dan bomba komuniti

KUCHING-- Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof menyeru lebih ramai rakyat Sarawak menyertai pasukan bomba sukarela dan bomba komuniti bagi mempersiapkan komuniti yang boleh memberi bantuan kecemasan awal segera ketika menghadapi apa jua bentuk bencana.

Beliau berkata, mereka ini adalah petugas sukarelawan yang akan memberi pertolongan kecemasan pertama sebelum kehadiran pihak bomba atau polis di lokasi kejadian.

Tambah Ahli Parlimen Petra Jaya itu, ia juga bertepatan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran yang betul dalam hal-hal keselamatan kepada mereka. 

"Pasukan ini akan menjaga keselamatan dan kesejahteraan penduduk di peringkat akar umbi tanpa mengira keadaan iaitu boleh dikatakan 'Wira yang tidak didendang'.

"Namun, 'Wira yang tidak didendang' ini haruslah diiktiraf dan dihargai.

"Oleh itu, saya menyeru orang ramai terutama mereka yang tinggal di kawasan berisiko seperti banjir dan tanah runtuh untuk menyertai pasukan bomba komuniti bagi membantu menjaga keselamatan di kawasan masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Bomba Komuniti Petra Jaya 2023 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya di sini, hari ini.

Program itu merupakan anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak turut dihadiri Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datu Khirudin Drahman, diadakan selama lima hari bermula 7 Mac lalu.

Difahamkan setakat ini seramai 875 individu telah menjadi ahli bomba komuniti Petra Jaya.

Mengulas lanjut saranan itu, Fadillah berkata, dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, adalah penting bagi masyarakat untuk bersedia dan mengetahui cara untuk berpindah sekiranya berlaku kecemasan.

"Inilah peranan pasukan bomba sukarela dan bomba komuniti bagi 
mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada," tambahnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, kementeriannya sudah mengenal pasti pekebun kecil industri komuniti yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda Johor ketika ini.

Katanya, beliau sudah menerima laporan berhubung bencana itu yang turut menjejaskan beberapa pekebun kecil terbabit.

"Bantuan sewajarnya akan diberikan kepada pekebun terbabit bagi meringankan beban mereka mengusahakan semula kebun apabila keadaan banjir pulih," ujarnya.

Terdahulu, Pengarah JBPM Sarawak Datu Khirudin Drahman pada majlis itu menegaskan kepentingan masyarakat dibekalkan dengan pengetahuan dalam mengendalikan situasi tidak diduga agar tidak cemas ketika bertindak.

“Orang ramai perlu mencontohi sikap masyarakat di negara maju yang mempunyai kemahiran untuk mendepani situasi kecemasan seperti masyarakat Jepun yang mana mereka mampu bertindak dengan tenang dan berkesan apabila berlaku situasi-situasi yang tidak diduga. 

"Itu yang kita cuba wujudkan dalam kalangan masyarakat ini,” jelasnya.
Next Post Previous Post