'Saya mangsa politik terancang' - Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR-- Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menyifatkan pendakwaan ke atas dirinya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang.
Jelasnya, mereka hanya menggunakan agensi penguatkuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka.
"Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang.
"Saya telah berkecimpung dalam politik selama 50 tahun. Sepanjang tempoh itu, tidak ada apa-apa kesalahan yang saya lakukan.
"Malah saya sentiasa akur kepada peraturan dan undang-undang. Saya tidak melanggar peraturan dan undang-undang dengan sewenang-wenangnya.
"Pegawai-pegawai kerajaan yang pernah berkhidmat dengan saya pasti tahu sikap dan pendirian saya mengenai pematuhan kepada peraturan dan undang-undang," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun, beliau menerima pertuduhan ke atas dirinya dengan sabar.
"Saya tahu dalam dunia politik, ramai musuh yang ingin menghancurkan saya, keluarga saya dan parti saya.
"Lebih-lebih lagi apabila saya berhadapan dengan musuh politik yang rakus. Bagi saya tidak mengapa. Ini jalan perjuangan yang saya pilih. Saya tidak memilih untuk bersekongkol atau tunduk dengan desakan mereka yang batil. Saya pilih untuk tegak berdiri di atas prinsip yang saya pegang. Inilah harga yang harus saya bayar," tegas Muhyiddin.
Beliau yakin dengan kuasa Allah dan berdoa semoga Tuhan mengurniakan rahmah dan inayah-Nya ke atas beliau dan melindunginya
dan sahabat-sahabat seperjuangannya daripada fitnah jahat dan musibah buruk.
Mengulas tentang pendakwaan itu, Muhyiddin berkata, beliau dihadapkan ke Mahkamah untuk menghadapi enam pertuduhan.
Pada hari Isnin ini katanya, beliau akan dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam untuk satu lagi pertuduhan.
"Pertuduhan ke atas saya dibuat di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 iaitu berkenaan tohmahan salah guna kuasa. Saya tidak didakwa atas kesalahan menerima rasuah bagi diri saya.
"Ini kerana setelah siasatan dibuat, didapati tidak ada satu sen pun wang rakyat masuk ke poket saya sendiri sepanjang saya menjadi Perdana Menteri.
"Ini berbeza sekali dengan fitnah yang dilemparkan ke atas saya kononnya saya menyeleweng RM600 bilion wang pakej rangsangan ekonomi semasa pandemik COVID-19," jelasnya.
Katanya, kini terbukti tuduhan itu adalah satu fitnah jahat yang direka semata-mata untuk mencemarkan imej, keluarga dan partinya.
"Oleh kerana saya tidak menerima rasuah, mereka mencipta kesalahan lain untuk mengesahkan dakwaan Presiden UMNO bahawa akan wujud
Kluster Mahkamah baharu dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional.
"Dia ingin menyamakan saya dengan dirinya. Tentu sekali berbeza. Dia dituduh menggunakan wang yayasan untuk kegunaan diri sendiri. Sedangkan saya, tidak ada satu sen pun wang yang masuk ke poket saya sendiri.
"Saya dituduh menyalahgunakan kuasa Perdana Menteri untuk melantik kontraktor-kontraktor Bumiputera bagi Projek JANAWIBAWA. Saya
nafikan tuduhan ini. Saya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskan projek-projek ini," katanya lagi.
Menurutnya, kesemua projek ini telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan mengikut peraturan dan tatacara perolehan yang sah.
Selain itu, beliau memberitahu, bahawa beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa untuk meluluskan Rayuan Pembatalan Pengecualian Cukai oleh Yayasan Al-Bukhary yang dinaungi oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
"Saya nafikan dakwaan ini. Kelulusan rayuan pengecualian cukai ini dibuat oleh Kementerian Kewangan dan saya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskannya.
"Inilah dua dakwaaan yang mengakibatkan 7 pertuduhan yang dibuat ke atas saya.
"Semalam, sebelum keterangan saya diambil berhubung dakwaan saya menyalahgunakan kuasa meluluskan rayuan pengecualian cukai oleh Yayasan Al-Bukhary saya diberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara telah membuat keputusan untuk mendakwa saya. Bagaimana keputusan untuk mendakwa telah dibuat sedangkan keterangan saya mengenainya belum diambil?
"Saya dapati keputusan untuk mendakwa saya sebenarnya telah dibuat lebih awal oleh pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum sisatan dilengkapkan," ujarnya.