Sarawak tunggu kelulusan kerajaan persekutuan untuk guna solar sebagai kegunaan domestik

KUCHING-- Kerajaan Sarawak merancang untuk mendapatkan kelulusan daripada kerajaan Persekutuan bagi mengubah dasar berkaitan pembangunan sektor tenaga solar sedia ada supaya panel solar dapat dibekalkan untuk kegunaan domestik di negeri ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, ini kerana dasar berkaitan tenaga tersebut di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

"Kita boleh kemukakan (cadangan tenaga solar untuk kegunaan domestik) kepada kerajaan persekutuan.

"Penggunaan solar di rumah persendirian, premis komersial dan industri diharap menjadi pemangkin kepada usaha Sarawak meningkatkan penjanaan kuasa tenaga diperbaharui di Sarawak melalui solar.

"Hal ini kerana ia merupakan satu inisiatif di bawah Pelan Tahun 2030 adalah kementerian berusaha memangkin industri solar di Sarawak dan menyokong ‘Sarawak Climate Change Policy’ dan ‘Low Carbon Society Blueprints’," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) Perumahan di Samariang di sini, pada Selasa.

Tambah Julaihi, di Sarawak panel solar yang dihasilkan oleh syarikat sedia ada adalah untuk dieksport dan bergantung kepada keperluan mereka sendiri.

Justeru, katanya, Sarawak berharap suatu hari nanti harga panel solar di Sarawak akan dapat diturunkan kepada harga lebih mampu milik kepada para pengguna atau mereka yang berminat untuk menyertai skim seperti Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) perumahan pada masa akan datang.

"Mungkin suatu hari nanti, ada perubahan dasar yang membolehkan panel solar dapat digunakan di peringkat tempatan," jelasnya.

Mengenai NEM, beliau memberitahu, ia adalah berasakan bekalan elektrik dari sumber solar atau tenaga hijau boleh diperbaharui.

Jelasnya, NEM telah dilulus Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak telah disaran untuk dilaksana Sarawak Energy Berhad oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini.

"Skim ini adalah selaras dengan agenda hijau Sarawak yang mengalak dan sedang mengguna tenaga elektrik yang boleh diperbaharui dari sumber hidro.

"Kedua-dua sumber tenaga elektrik dari solar dan hidro adalah sesuai dan selaras dengan perubahan iklim hari ini," ujarnya.

Hadir sama Timbalan Menterinya Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni dan Pengarah Urusan Gabungan Binaan Jurutenaga Sdn Bhd Dr Abang Hatta Abang Taha.

Projek perumahan baru itu yang bakal mengguna NEM adalah milik Gabungan Binaan Jurutenaga Sdn Bhd yang dipelopori oleh Ir Abang Hatta Abg Taha.
Next Post Previous Post