Sarawak rancang tubuh Pusat Perubahan Iklim
KUCHING— Sarawak akan menubuhkan Pusat Perubahan Iklim bagi menguruskan semua isu berkaitan perubahan iklim selain pembangunan perdagangan karbon di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pusat ini kelak akan memantau, menyelia dan menguruskan sektor ekonomi khususnya pembangunan dalam perdagangan karbon dan penyimpanan karbon.
“Penubuhan ini bakal meletakkan negeri ini sebagai peneraju insiatif perubahan iklim di dunia. Ia akan menarik minat pelaburan selain kebolehan Sarawak untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Pusat itu turut menyokong pembangunan dasar dan peraturan yang menggalakkan amalan mampan, termasuk tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga, dan pengurusan perhutanan mampan,” katanya dalam ucaptama semasa Persidangan Karbon Asia 2023 di sini, pada Rabu.
Abang Johari menambah, ketika ini kerajaan masih dalam peringkat awal dan sedang membangunkan rangka kerja untuk penubuhan pusat itu.
Sehubungan itu katanya, Sarawak akan bekerjasama dengan organisasi antarabangsa termasuk pihak berkepentingan dalam membuat rangka kerja undang-undang dan peraturan perdagangan karbon yang lengkap.
Persidangan selama tiga hari itu antara lain bagi membincangkan dan menangani perdagangan karbon dan menetapkan nada untuk membuat dasar, peluang pelaburan dan teknologi baharu dalam pasaran karbon.
Selain itu, Sarawak juga sedang membangunkan Dasar Perubahan Iklim Negeri untuk menyediakan rangka kerja komprehensif bagi menangani isu perubahan iklim yang kritikal.
“Dasar itu akan membimbing semua masyarakat di Sarawak ke arah masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan,” kata Abang Johari.
Sementara itu, kesan perubahan iklim semakin dirasai di Sarawak yang kini mengalami fenomena cuaca ekstrem.
Beberapa tahun lepas, bulan Januari hingga Mei adalah musim kemarau. Rakyat Sarawak kehairanan, musim hujan masih berlanjutan dari tahun lepas sehingga pertengahan Mac tahun ini.
Perubahan iklim ini menyebabkan beberapa kawasan di daerah Kuching, Bau dan Siburan pada bulan lepas dilanda banjir teruk sehingga ratusan penduduk kampung terpaksa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara.
Malah, Jabatan Meteorologi baru-baru ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Pusa dan Betong.
Perubahan iklim ini bukan setakat menjejaskan cara hidup dan merosakkan harta benda malah sumber pendapatan khususnya petani dan nelayan.
Musim hujan berlanjutan menyebabkan ombak bergelora setinggi rumah.
Nelayan terputus rezeki kerana tidak dapat turun ke laut.
Petani hilang sumber pendapatan kerana banyak tanaman ditenggelami banjir. Pesawah kerugian, padi habis musnah dan rosak kerana hujan berterusan pada musim yang sepatutnya kemarau.
Perubahan iklim ini jika tidak ditangani boleh mendatangkan kesan lebih buruk terhadap alam sekitar, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Gambar kredit Pejabat Premier Sarawak