Sarawak dijangka jana pendapatan hingga RM1.039 bilion menerusi kredit karbon--Abang Johari
KUCHING: Inisiatif perdagangan karbon yang akan menyumbang kepada kredit karbon dijangka menyediakan sumber pendapatan baharu buat Sarawak yang dianggarkan dari RM315 juta hingga RM1.039 bilion setahun.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan bentuk muka bumi Sarawak, ia berpotensi dijadikan tempat penyimpanan karbon dari hutan-hutan kekal.
Jelasnya ini akan menggalakkan penyerapan karbon dan menjalankan skim-skim penanaman pokok untuk kredit karbon.
"Dengan pendekatan baharu pengurusan hutan iaitu peralihan daripada pembalakan tradisional yang menjana hasil kayu boleh niaga kepada pendekatan jangka panjang lebih mampan.
"Pendekatan baharu ini mengutamakan pemuliharaan, penghutanan dan penjanaan semula.
"Menerusi usaha-usaha ini, kita perlu menyelaraskannya dengan usaha global bagi mengurangkan kesan perubahan iklim dan pemanasan global, dan pada masa sama menyokong Matlamat Pembangunan Baharu Mampan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Karbon Asia 2023 di Hotel Pullman di sini, hari ini.
Abang Johari yang juga Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar berkata, Sarawak mempunyai sekitar 7.7 juta hektar atau 62 peratus daripada keseluruhan kawasan tanahnya yang dilitupi hutan.
"Ini merupakan peluang besar untuk Sarawak berada di barisan hadapan dalam dasar pengurusan hutan lestari, dengan tujuh juta hektar diperuntukkan bagi perhutanan mampan dan pemuliharaan di bawah Dasar Guna Tanah Sarawak," ujarnya.
Selain itu, beliau memberitahu daripada jumlah itu, enam juta hektar adalah Hutan Kekal dan satu juta hektar adalah Kawasan Terlindung Sepenuhnya.
"Ini menunjukkan komitmen teguh kami (kerajaan Sarawak) terhadap pemuliharaan dan penjanaan semula hutan kami," katanya.
Mengenai strategi Sarawak, beliau berkata, bagi masa depan rendah karbon memfokuskan kepada tiga tonggak iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan persekitaran mampan, dengan matlamat untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
"Kami berbesar hati, mengumumkan Sarawak mengambil langkah berani ke arah masa depan mampan dengan menggubal undang-undang yang merangkumi ruang udara dan hartanah di atas permukaan tanah serta dasar laut pelantar benua negeri.
"Kanun Tanah (Penyimpanan Karbon) Peraturan, 2022 menyediakan rangka kerja undang-undang untuk aktiviti Pengawalan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di Sarawak," jelasnya.
Tambahnya, Sarawak mempunyai potensi besar untuk penyimpanan karbon yang dianggarkan 30 trilion meter padu di dasar laut pelantar benuanya.
Menurutnya lagi, pelantar petroleum luar pesisir Sarawak yang terbiar sesuai untuk penyimpanan karbon dioksida (CO2) yang selamat dan kekal.
Katanya, ini memberikan peluang yang besar kepada syarikat minyak dan gas untuk memenuhi kewajipan mereka mengurangkan pelepasan CO2.
Jelas Abang Johari lagi, pelaksanaan Projek Pengawalan dan Penyimpanan Karbon (CCS) mega bernilai RM4.5 bilion di Bintulu atau spesifiknya terletak dalam lapangan gas Kasawari oleh Petronas.
"Projek ini dijangka mengurangkan sehingga 3.3 juta tan karbon dioksida setiap tahun, menjadikannya projek CCS luar pesisir terbesar di dunia.
"Pencapaian ini meletakkan Sarawak dalam peta sebagai peneraju global dalam teknologi ini," ujarnya.
Tambah beliau, Sarawak baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman dengan Kumpulan POSCO untuk bersama-sama menjalankan analisis kebolehlaksanaan ke atas projek pengawalan dan penyimpanan karbon.
"Syarikat terkemuka dari Singapura dan Jepun juga telah menyatakan minat untuk menyertai dan melabur dalam CCUS di Sarawak.
"Kita mengalu-alukan sokongan dan perkongsian mereka dalam usaha 'memerangi' perubahan iklim dan mewujudkan masa depan yang mampan," katanya.
Menyentuh Persidangan Karbon Asia 2023, Abang Johari berkata ia julung kali diadakan di Asia bagi menghimpunkan pemimpin-pemimpin industri terkemuka bagi mengimbangi karbon dan berdagang dalam pasaran global yang berkembang pesat.
Tegasnya, ia akan menjadi landasan untuk membuat keputusan penting dalam pembentukan dasar, peluang pelaburan termaju dan teknologi inovatif yang pastinya akan membentuk masa depan pasaran karbon.