Rezeki ikan tapah 40kg
MARUDI— Seorang pemancing, Balan Madang,45, dari Long Ikang, Baram pulang dengan rezeki lumayan selepas berjaya menaikkan seekor ikan tapah gergasi seberat 40 kilogram di Sungai Baram, baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, Balan turut memperolehi seekor lagi ikan tapah seberat 10kg dan ikan baung seberat 25kg.
Kesemua hasil tangkapan itu kemudian di bawa ke pekan Marudi dan habis dijual dalam masa yang singkat.
Beliau berkata, ikan tapah dijual dengan harga RM38 sekilogram manakala ikan baung RM25 sekilogram.
Ikan tapah seberat 40kg berjaya dijual dengan harga RM1,520, ikan tapah 10kg dijual dengan harga RM380 manakala ikan baung RM625.
Pagi itu sahaja Balan berjaya meraih RM2,525 hasil jualan kesemua ikan.
Sungai Baram memang terkenal dengan pelbagai jenis ikan sungai seperti tapah dan baung yang menjadi salah satu sumber pendapatan utama penduduk tempatan sejak dulu lagi.