Polis tidak terima laporan suami isteri hampir jadi mangsa ragut di Matang
KUCHING-- Pihak polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan pasangan suami isteri yang hampir menjadi mangsa samun tidak jauh dari lampu isyarat Matang Hilir di sini, ketika sedang menunggang motosikal.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kemungkinan perkara itu tidak benar.
"Semakan ke atas pemilik akaun Facebook ieda Eein yang memuat naik posting itu dikesan 12.30 tengah hari semalam mendapati 'posting' terbabit juga telah dipadam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya dalam 'posting' berkenaan menyatakan bahawa dua orang lelaki keluar dari semak dengan bersenjatakan objek panjang dan menuju ke arah mereka sambil meminta beg.
Bagaimanapun, mangsa dapat melarikan diri dan meminta bantuan daripada kenderaan yang lalu di situ.
Manakala suspek dikatakan melarikan diri sebaik sahaja melihat beberapa kenderaan berhenti dan orang awam menuju ke arah mereka.
Justeru, Abang Zainal menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan berhubung dengan 'posting' itu kerana ia akan mendatangkan kegusaran kepada masyarakat.
"Sebaiknya jika ada kejadian seumpama itu, individu atau mangsa sepatutnya tampil untuk membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan susulan diambil," katanya.