Peranan Amil zakat masih relevan
MIRI--Kehadiran dan peranan Amil dalam proses mengutip zakat fitrah semasa bulan Ramadan masih diteruskan bagi memudahkan golongan warga emas yang hendak melakukan pembayaran zakat secara tradisional.
"Kita akan teruskan seperti biasa, dengan menempatkan Amil di surau atau masjid bagi tujuan mengutip zakat , walaupun pada hari ini, kita sudah ada membuat beberapa kaedah baru menggunakan aplikasi secara atas talian," jelas pengurus besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie pada Rabu di Miri.
Sebanyak RM67, 980 bantuan kewangan telah diserahkan kepada 28 penerima termasuk tiga sekolah Tahfiz di Daerah Miri.
Setakat 28 Februari tahun ini, sebanyak RM13. 02 juta hasil agihan zakat telah diagihkan kepada asnaf menerusi empat program utama iaitu program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, program membangunkan institusi Islam, Program memantapkan Kebajikan Ummah dan program peningkatan kemahiran ummah.
Katanya, masih ada lagi generasi lama terutamanya menggunakan kaedah seperti bertemu muka secara fizikal dengan Amil semasa melakukan pembayaran zakat fitrah berbanding secara atas talian (online).
"Tidak dinafikan, sejak kita memperkenalkan kaedah pembayaran zakat secara atas talian semasa pandemik COVID-19, kutipan zakat dilihat meningkat, dan ini menunjukan indikasi yang sangat bagus kerana kita (TBS) dapat menyalurkan lebih banyak lagi kepada golongan-golongan asnaf yang memerlukan," katanya.
Kadar zakat fitrah tahun di Sarawak tahun ini ditetapkan sebanyak RM 7 seorang.
Turut hadir pegawai Baitulmal Miri Mariani Juraibi.