Pengkritik tegar Akta Hasutan Ramkarpal dedah kerajaan belum ada rancangan mansuhkan akta tersebut

PETALING JAYA-- Belum ada perancangan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 pada masa ini, tegas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh.

Katanya, kerajaan tidak bercadang memansuhkan akta tersebut buat masa ini. 

“Bukan ketika ini... Kita tidak menolak kemungkinan itu, namun mungkin ia masih jauh lagi,” katanya semasa wawancara BFM The Breakfast Grille, pagi tadi. 

Dengan kenyataan yang disuarakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu jelas bertentangan dengan semangat yang diperjuangkannya dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebelum membentuk kerajaan persekutuan yang sering mengulangi pendirian untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948. 

Beliau yang juga seorang peguam dalam laporan media pada Januari 2019 dipetik berkata, Akta Hasutan 1948 tidak mempertimbangkan niat atau sama ada pernyataan itu benar atau palsu apabila memutuskan jenayah menghasut.

"Undang-undang hasutan sangat pelik (kerana) kenyataan dan kritikan dengan kecenderungan menghasut juga akan dianggap sebagai menghasut tanpa mengira niat pengkritik.

"Dalam erti kata lain, pengkritik secara jujur merasakan bahawa dia dibenarkan mengkritik atau bercakap dengan bebas mengenai isu yang dia rasa dibenarkan tetapi kritikan itu masih dianggap menghasut jika ia membawa kecenderungan menghasut yang tertentu," kata Ramkarpal. 

Menurutnya selagi Akta Hasutan 1948 masih berkuatkuasa, akan sentiasa ada rasa takut untuk bersuara secara bebas, terutamanya mengenai isu-isu sensitif di mana seseorang tidak berniat untuk melakukan hasutan.

Malah, Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya umum lalu, berkata, mereka akan menyemak dan memansuhkan peruntukan drakonian dalam akta berkaitan yang boleh disalahguna untuk mengekang kebebasan bersuara seperti Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Beliau yang boleh dikatakan pengkritik tegar Akta Hasutan berkata, takrifan terkandung dalam akta itu terlalu luas dan digunakan bagi menyekat dialog dan melenyapkan suara kritikan.

Sementara itu, mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), Ramkarpal berkata, perbincangan sedang berlangsung membabitkan polis, NGO, dan peguam mengenai langkah menambah baik peruntukan itu.

“Kami akan mengadakan lebih banyak libat urus, dan saya berharap kita mampu melengkapkannya dalam tempoh beberapa bulan lagi serta dapat mengemukakan syor bagaimana undang-undang itu boleh ditambah baik. 

“Saya merupakan peguam jenayah sebelum ini, dan saya pernah menangani kes berkaitan Sosma di mana saya dapat lihat kelemahannya (Sosma). Saya fikir penting untuk dibincangkan dengan semua pemegang taruh, termasuk mereka yang pro-Sosma, bagi mencari penyelesaian," jelasnya. 

PH juga pernah berjanji dalam manifesto pada PRU 2018 untuk memansuhkan peruntukan drakonian bawah Sosma, yang memberi kuasa meluas terhadap pihak subversif, pemberi ancaman kepada ketenteraman awam, dan tindakan keganasan, sabotaj serta pengintipan.
Next Post Previous Post