Padah miliki hasil hutan secara haram, dua kilang papan kayu di Sibu didenda
SIBU-- Padah memiliki hasil hutan secara tidak sah dua kilang papan kayu di sini diperintah Mahkamah Seksyen membayar denda menurut Seksyen 96 (3) Ordinan Hutan 2015 (Bab 71) hari ini.
Pengurus Kilang Papan Kayu dan sebuah Syarikat Kilang Papan Kayu diwakili Pengarah Syarikat didenda sebanyak RM25,000 setiap seorang serta bayaran kepada Kerajaan Sarawak sebanyak RM44,450.
Menurut fakta kes, kedua-dua pihak berasal dari Sibu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 96 (1) Ordinan Hutan 2015 (Bab 71) kerana memiliki hasil hutan secara tidak sah dan dibaca bersama Seksyen 79 (2), 96 (3), 98 dan 99 Ordinan yang sama.
Kejadian berlaku pada 6 Mei 2019 di mana Pegawai dari Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) dengan kerjasama bersama dengan pegawai-pegawai dari Jabatan Hutan Sarawak dan Batalion 10, Pasukan Gerakan Am (PGA), PDRM telah menahan kegiatan pemunggahan 458 batang kayu balak haram di sebuah kilang iaitu Syarikat Kilang Papan Tanjong Engkilo (1980) Sdn Bhd berdekatan di Jalan Sungai Maaw, Sibu jam lebih kurang 8.45 pagi.
Hakim Marutin Pagan juga memerintahkan agar dua buah mesin penyodok dan forklift sebagai bahan bukti dilucuthak dan diserahkan untuk dilupuskan oleh kerajaan.
Dalam pada itu, Pengarah UKPS, Datu Dr. Chai Khin Chung menegaskan bahawa kesalahan itu adalah suatu kesalahan serius yang melibatkan pemilikan dan pembalakan secara tidak sah dan tindakan tegas harus diambil.
Beliau juga berterima kasih atas kerjasama Jabatan Hutan Sarawak, Sarawak Forestry Corporation dan Polis Diraja Malaysia dalam usaha pembanterasan kegiatan pembalakan haram di Sarawak.
Kedua-dua Pengurus Kilang dan Pengarah Syarikat Kilang Papan tersebut diwakili oleh Peguambela Ben Lau, Danny Huang dan Victor Lau manakala pendakwaan dari UKPS dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ronald Felix Hardin dan Pegawai Pendakwaan Christie Sereni Philimon dari Kamar Peguam Besar Negeri Sarawak dan prosiding turut dihadiri oleh beberapa orang pegawai yang berkenaan.