MBM lancar Warden Trafik, basmi kegiatan parkir sembarangan

MIRI— Majlis Bandaraya Miri (MBM) melancarkan pasukan Warden Trafik bagi membanteras pemilik yang meletak kenderaan sembarangan sehingga mengganggu kelancaran lalu lintas.

Datuk Bandar Adam Yii berkata, seramai tujuh anggota penguat kuasa MBM dilantik sebagai warden di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Beliau berkata, kesemua warden tersebut menjalani kursus PDRM Pulapol pada Mac 2022, latihan perkhidmatan di Kuching bersama DBKU dan MBKS pada Januari lalu diikuti latihan bersama anggota polis trafik pada Februari.

“Tindakan sesetengah pemilik kenderaan yang tidak bertimbang rasa dengan parkir sembarangan atau di kawasan larangan dikenal pasti punca kesesakan terutama di kawasan komersial.

“Justeru MBM berharap penubuhan warden lalu lintas bermotosikal ini dapat memperbaiki keadaan dan pada masa yang sama membantu lalu lintas yang lain,” katanya berucap pada majlis pelancaran pasukan Warden Lalu Lintas di Dewan Bandaraya Miri hari ini.

Sementara itu Setiausaha MBM Abdul Rahman Taupek berkata, pasukan tersebut akan bekerjasama dengan pihak polis untuk mengawal lalu lintas di kawasan di bawah bidang kuasa MBM.

“Jika perlu, mereka akan ditempatkan di simpang jalan lampu isyarat pada waktu puncak selain bertugas sebagai penguat kuasa dalam urusan lalu lintas,” katanya.

kapsyen
Sekitar rondaan dan pemeriksaan salah guna tempat letak kereta di sekitar bandar raya Miri.

Gambar kredit Majlis Bandaraya Miri
Next Post Previous Post