Mangsa kena langgar lari meninggal dunia, polis berjaya kesan pelaku
KUCHING-- Seorang warga emas yang parah akibat dilanggar lari sebuah van ketika menunggang basikal di simpang RPR Batu Kawa disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, polis telah mengenal pasti van terlibat kini giat memburu suspek.
"Kami sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi termasuk CCTV hospital bagi mencari petunjuk.
"Kejadian (kemalangan) di simpang jalan (RPR Batu Kawa), semasa kejadian mangsa menunggang basikal dipercayai keluar simpang manakala van terbabit sedang bergerak lurus.
"Mangsa telah disahkan meninggal dunia pagi tadi. Bagaimanapun kita berjaya mengesan suspek yang memandu van terbabit," katanya.
Jelasnya lagi, polis sedang berusaha menjejaki suspek dan menangkapnya dengan segera.
Tegasnya, kes masih dalam siasatan.
Terdahulu, Pembantu Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Jordan Soo dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima aduan daripada anak mangsa berhubung kejadian tersebut.
"Anak mangsa mencari bapanya namun tidak berjaya selama sehari.
"Jadi mereka pergi ke Hospital Umum Sarawak untuk mencuba dan barulah dia dapat tahu bapanya dimasukkan ke hospital setengah hari yang lalu, akibat kemalangan jalan raya di RPR Batu Kawa," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai yang mengetahui kejadian itu dapat memberikan maklumat tersebut.