Malaysia, China - kaji penggunaan biodiesel sawit untuk kereta melalui kerjasama MPOB dan Universiti Tsinghua - Fadillah Yusof
KUALA LUMPUR-- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang bekerjasama dengan Tsinghua University di China menjalankan penyelidikan penggunaan biodiesel sawit dalam enjin kenderaan buatan negara itu.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia termasuk kajian makmal dan kebolehlaksanaan penghasilan biojet sawit sebagai bahan api penerbangan mampan (SAF).
"MPOB juga sedang mengadakan kerjasama bersama enam universiti tempatan berkenaan kajian percubaan enjin diesel dengan menggunakan adunan biodiesel B30," katanya.
Fadillah menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Parlimen Tanjung Piai, Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng sesi Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, penggunaan biodiesel sawit adalah langkah strategik kerajaan melalui KPK bagi menggalakkan penggunaan minyak sawit dalam negara.
"Selain itu bertujuan untuk mengukuhkan dan menstabilkan harga minyak sawit dalam jangka masa panjang."
"Penggunaan biodiesel sawit mampu menyumbang kepada kemampanan dan meningkatkan imej industri sawit negara dalam melaksanakan amalan-amalan yang mesra alam," tegas Fadillah.
Di samping itu mengurangkan penggunaan bahan api berasaskan fosil sekaligus dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Terdahulu Fadillah berkata, Program Biodiesel Negara dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan Program Biodiesel B5 (adunan 5% biodiesel sawit dengan 95% diesel petroleum) untuk sektor pengangkutan darat pada tahun 2011.
Program ini kemudian diperluaskan kepada Program Biodiesel B7 dan dilaksanakan di seluruh negara pada tahun 2014 dan diikuti dengan Program Biodiesel B10 pada tahun 2019.
Pelaksanaan Program Biodiesel B20 telah bermula pada tahun 2020 dan akan diperluaskan ke seluruh negara secara berfasa bergantung kepada ketersediaan infrastruktur pengadunan biodiesel.
Katanya, selain itu, Program Biodiesel B7 juga telah dilaksanakan secara mandatori di sektor perindustrian sejak tahun 2019.