Lelaki maut kereta langgar penghadang jalan
BETONG-- Seorang lelaki maut kereta dipandu terlibat kemalangan dan melanggar penghadang jalan di Kampung Jelukong, Jalan Engkelili di sini awal pagi tadi.
Dalam kemalangan itu, mangsa dikenali sebagai Ibrahim Seman, 55, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 5.33 pagi dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong ke lokasi.
"Setibanya Pasukan Bomba di lokasi kejadian, Komander Operasi melaporkan kemalangan kendiri melibatkan sebuah kenderaan jenis proton saga telah melanggar penghadang jalan.
"Terdapat seorang mangsa lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum Pasukan Bomba tiba di lokasi," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Jelasnya, mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh Pasukan perubatan dari Hospital Betong.
Tambahnya mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.
"Setelah memastikan keadaan terkawal dan selamat, Pasukan Bomba bertolak balik ke Balai," ujarnya.
Katanya lagi, operasi ditamatkan pada jam 7.47 pagi.