Kantoi sembunyi dadah dalam tayar gantian, dua berdepan hukuman gantung sampai mati
MIRI : Polis pada petang Selasa merampas dadah jenis Methamphetamine sebanyak 1,000.00 gram dianggarkan bernilai RM36,000.00 susulan penahanan dua warga tempatan di Pos Kawalan Kastam, Kompleks ICQS Sungai Tujuh, Miri.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, suspek, seorang lelaki dan wanita itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri sekitar jam 3 petang.
"Semasa melakukan pemeriksaan di bonet belakang kereta tersebut, pasukan serbuan telah menjumpai dan merampas satu biji tayar ganti dan hasil pemeriksaan lanjut ke atas tayar ganti tersebut didapati didalamnya mengandungi satu ketulan mampat bersalut aluminium foil bersalotape yang mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine," ujar Alexson.
Kes ini disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.
Polis turut merampas beberapa mata wang Malaysia, Singapore ,Brunei dan barang kemas.
Nilai keseluruhan rampasan adalah RM57, 200.
Pihak Polis juga ingin menasihati orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah ini untuk segera melaporkannya ke Balai Polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama.