Jambatan Batang Lupar 2 alami kelewatan 96 hari, diunjur siap Feb 2025
KUCHING-- Projek Jambatan Batang Lupar 2 dekat Sri Aman mengalami kelewatan 96 hari dalam pembinaannya disebabkan kekurangan pekerja, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) itu berkata, jambatan kabel sepanjang 870 meter bernilai RM223.6 juta itu dibina oleh Syarikat Usahasama Naim Gamuda (NAGA) dijadualkan siap pada 24 November tahun ini, tetapi ini telah diunjurkan pada 28 Februari 2025.
"Kita menyedari semasa pandemik COVID-19, pekerja asing tidak boleh masuk dan kemudian negara seperti China dan Indonesia telah mengamalkan dasar tutup pintu tetapi kini mereka membuka (semula) pintu (sempadan).
"Kerajaan Sarawak telah membentuk pasukan petugas khas untuk memastikan semua permohonan pekerja asing diproses dengan pantas supaya masalah itu dapat diselesaikan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini selepas melawat tapak pembinaan Jambatan Batang Lupar 2 berdekatan Sri Aman, pada Khamis.
Untuk itu, kata Uggah, kementeriannya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan terus berbincang dengan kontraktor untuk membantu mereka menyelesaikan beberapa isu yang berpunca daripada pandemik COVID-19.
"Ini untuk membolehkan mereka menyiapkan projek seperti yang dijadualkan dan dengan kualiti yang diharapkan.
Mengulas lanjut, Uggah berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan wakil kontraktor dan ia membuahkan hasil.
Tambahnya, pihaknya juga telah mengenal pasti masalah utama yang dihadapi kontraktor.
"Mereka perlu mendapatkan lebih ramai pekerja, mungkin beberapa bahan binaan, jika tidak, mereka sudah cukup bersedia untuk mengambil momentum kerja mereka bagi mencapai tahap yang diunjurkan,” jelasnya.
Selain itu, Uggah berkata kerajaan Sarawak mempunyai dasar Variasi Harga (VOP) untuk membantu kontraktor pulih dalam menghadapi lonjakan harga bahan binaan juga akibat pandemik COVID-19.
Tegasnya ini amat penting bagi kontraktor termasuk kontraktor jalan raya untuk memainkan peranan masing-masing dalam memastikan mereka dapat menyampaikan projek seperti yang dijadualkan dan dengan kualiti yang diharapkan.
Jelas beliau, kini, sejumlah 10 jambatan yang sedang dibina di sepanjang lebuh raya pesisir pantai di Sarawak.
“Oleh itu, kita di MIPD dan JKR akan memantau pembinaan mereka dengan teliti,” ujarnya.