Jambatan Batang Lupar 1 dijangka siap 2025

BETONG-- Kerja-kerja pembinaan Jambatan Batang Lupar 1 iaitu jambatan terpanjang merintangi sungai di negara ini   
sepanjang 4.8 kilometer (km) dijangka dapat disiapkan lebih awal daripada jadual iaitu pada 7 Julai 2025.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas puas hati dengan pelaksanaan projek berharga RM848.7 juta 
yang dilaksanakan kontraktor Perbena Emas Sendirian Berhad.

"Saya juga berpuas hati dengan perkembangannya perlaksanaan ya, jambatan itu kini siap 16.59 peratus berbanding jadual 20.17 peratus.

"Syarikat itu bekerjasama dengan salah sebuah firma pembinaan terkemuka dari China iaitu China Railway Major Bridge Engineering Group Company Limited bagi membina projek jambatan berkenaan,” katanya ketika melawat ke tapak pembinaan jambatan itu semalam.

Katanya, keadaan cuaca tidak menentu dan laut bergelora sekarang menimbulkan satu lagi cabaran kepada kontraktor untuk membina jambatan itu.

"Saya berpuas hati dengan perkembangan projek ini jika mengambil kira panjangnya, kos, spesifikasi lain serta cabaran yang ditempuhi.

"Jika syarikat itu boleh mengambil lebih ramai pekerja dari China, kerja pembinaannya mungkin lebih cepat," ujarnya.
 
Terdahulu, Uggah diberi taklimat mengenai perkembangan projek itu oleh Timbalan Pengarah JKR Sarawak, Ir. Ts Cassidy Morris dan Pengarah Eksekutif Perbena Emas, Helen Tang.
 
Helen Tang dalam taklimatnya memberitahu, satu lagi cabaran yang ditempuhi ialah kehadiran banyak buaya di sungai Batang Lupar sehingga menakutkan pekerja sungguhpun tiada insiden tidak diingini berlaku.
 
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan ditemani oleh Setiausaha Tetap kementerian, Chiew Chew Yaw.

Beliau kemudian melawat ke tapak projek pembinaan Jambatan Batang Saribas 1 dan Batang Saribas 2.

Jambatan Batang Saribas 1 sepanjang 1.55 km berharga RM375.5 juta disasarkan siap pada 22 Mei 2024 kini siap 62.51 peratus berbanding jadual siap 61.61 peratus.
 
Bagu Jambatan Batang Saribas 2 berharga RM385 juta sepanjang 4.2 km dijadual siap pada 24 Mei 2025 kini 
siap 12.19 peratus berbanding jadual 11.22 peratus.
 
Bercakap kepada media kemudian, Uggah memberi jaminan kementeriannya dan JKR Sarawak akan terus memantau pelaksanaan projek yang diluluskan.
 
“Kita tetap tegas semasa memantau projek terbabit dan akan kerap turun di lapangan bagi memantau perkembangannya,” katanya.
Next Post Previous Post