Jalan Jiwa Murni, jalan balak dibaik pulih untuk dijadikan jalan utama pedalaman Sarawak
KUCHING-- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersetuju untuk membaik pulih jalan-jalan Jiwa Murni yang telah rosak termasuk jalan balak di negeri ini agar ia dapat dijadikan sebagai jalan utama bagi kawasan pedalaman Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku menteri KKDW memberitahu, perkara tersebut antara 10 perkara yang telah dicapai dan dipersetujui dalam Mesyuarat Penyelarasan KKDW Bersama Kerajaan Negeri Sarawak Tahun 2023 yang turut dihadiri Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.
"Kita juga berhasrat dan bersetuju dengan permintaan kerajaan negeri di mana jalan-jalan jiwa murni yang pernah dilaksanakan dahulu dan jalan-jalan balak dibaik pulih.
"Pelaksanaan ini akan memberi keutamaan bagi jalan-jalan yang tidak lagi dilalui oleh kenderaan berat (untuk aktiviti pembalakan).
"Ini (jalan Jiwa Murni dan jalan balak) penting untuk dinaik taraf sebagai jalan utama ke kawasan pedalaman di Sarawak," katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Bagi jalan-jalan Jiwa Murni dan jalan balak yang masih aktif dilalui oleh kenderaan berat (lori balak), Ahmad Zahid berkata, ia diberi keutamaan kedua tetapi juga akan dinaik taraf.
Jelasnya lagi, pelaksanaan untuk membaik pulih jalan-jalan tersebut mesti dibuat sebelum menjelang perayaan Krismas ini atau 25 Disember 2023.
Mengulas lanjut panjang jalan yang bakal dibaik pulih itu, Ahmad Zahid berkata dianggarkan akan melibatkan jalan sepanjang 578 kilometer.
Bagi pelaksanaan pula, beliau memberitahu, ia akan menggunakan pendekatan lain yang diguna pakai oleh kerajaan Sarawak mengikut penanda aras yang terbaik.
Jelasnya, garis panduan dan penanda-penanda aras yang telah ditentukan oleh kerajaan Sarawak terutama dari segi proses tender bagi pelaksanaan projek-projek akan diguna pakai kerana penanda aras yang ditetapkan Kerajaan Sarawak akan dijadikan panduan oleh KKDW untuk dilaksanakan bukan sahaja di negeri ini tetapi di wilayah dan negeri-negeri ini.
Tambahnya, penanda aras yang ditetapkan kerajaan Sarawak adalah terbaik kerana tidak berlaku soal ketirisan projek-projek yang lewat disebabkan oleh mungkin pelaksananya mempunyai kelayakan yang rendah dan ini akan diatasi melalui penanda aras.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid memberitahu, kementeriannya melalui Felcra merancangkan untuk mewujudkan estet padi berskala besar di Sarawak bagi menambah bekalan domesti padi di sini.
"Kerajaan Sarawak akan umumkan apabila sudah mendapat persetujuan dengan kementerian-kementerian negeri yang terlibat.
"Ini adalah usaha-usaha proaktif yang diambil kerajaan Sarawak dan KKDW tentang kepentingan keperluan keterjaminan makanan mahupun keperluan untuk infrastruktur yang harus dilaksanakan dengan segera," ujarnya.