Hanifah Hajar Taib bantu bomba tolong nelayan habis minyak
MUKAH-- Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Taib tampil membantu dua bot nelayan yang tersadai kerana kehabisan minyak di 20 batu notika dari pantai dekat Kampung Petanak di sini petang Sabtu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung dua nelayan dilaporkan hilang di perairan tersebut sekitar jam 4.06 petang semalam.
"Bomba bergerak ke Kampung Petanak, Mukah untuk mendapatkan maklumat daripada keluarga mangsa.
"Dimaklumkan anak pengadu bersama seorang lagi rakannya keluar ke laut pagi Sabtu dan sehingga kini belum balik.
"Bapa mangsa menghubungi pihak Bomba kerana berasa kurang senang hati dengan keadaan laut bergelora dan risau akan keselamatan anaknya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, mangsa telah dijumpai oleh nelayan lain dalam keadaan selamat namun telah kehabisan minyak.
"Dalam perjalanan bot nelayan menunda bot mangsa, bot nelayan tersebut juga turut kehabisan minyak.
"Sehingga kini bot mangsa dan bot nelayan tersebut tersadai di 20 batu notika dari pantai," katanya.
Berikutan itu, Hanifah yang juga Timbalan Menteri Ekonomi menawarkan untuk menggunakan bot Twin 330hp miliknya kepada pihak Bomba yang akan dikemudi oleh pemandunya sendiri bagi menyelamatkan kesemua mangsa.
"Pihak Bomba bergerak ke lokasi bersama jurumudi bot untuk menunda kedua-dua bot tersebut ke jeti.
"Pada 11.30 malam, bot-bot tersebut telah selamat sampai di jeti dalam keadaan selamat dan operasi ditamatkan," ujarnya.
Gambar kredit Page Hanifah dan MY MUKAH