Bapa lima anak rayu pekerjaan untuk menampung perbelanjaan lima anak yang bersekolah di Lawas.


LAWAS- “Saya tidak minta apa-apa, saya minta saja ada kerja tetap untuk belanja anak-anak saya, anak-anak dapat baju raya sebab saya sendiri memang tak mampu,..

Itu rayuan seorang lelaki mualaf yang juga bapa kepada lima anak yang berharap ada pekerjaan diberikan kepadanya untuk menampung perbelanjaan kelima-lima anaknya yang masih bersekolah termasuk anak keempatnya yang menghidap penyakit jantung.

Muhd Afiq Abdullah 50, yang turut menderita penyakit kencing manis dan darah tinggi sedang berusaha untuk mencari pekerjaan dan pernah menghadiri tiga kali temuduga sebagai pegawai keselamatan di Lawas, tetapi sehingga kini masih menunggu jawapan.

“Sebelum ini saya bersama isteri dan lima anak menetap di Bau, Kuching dan berpindah ke Lawas Disember tahun lepas. Pelbagai usaha sudah saya lakukan untuk mencari pekerjaan demi mencari sesuai nasi untuk anak saya, tetapi rezeki belum ada,”katanya kepada Borneo Network hari ini.

Mud Afiq berkata kelima-lima anakanya Ilyana Natasha (tingkatan lima), Nur Afika (tingkatan dua), Nur Alisa (tingkatan satu), Muhd Arif (tahun tiga) dan Nur Hafeeza (tabika) masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan persekolahan termasuk untuk menyambut Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.

Katanya sayu, anak keempatnya Muhd Arif juga menderita penyakit jantung sejak lahir dan pernah dirawat di Institut Jantung Negara manakala rawatan pembedahan jantung dibiayai kerajaan Sarawak ketika itu.


“Hendak menyediakan baju raya memang tak mampu, saya juga terpaksa meminjam wang dari rakan-rakan untuk perbelanjaan seharian, Sebab itu saya memerlukan pekerjaan untuk menampung hidup kami sekeluarga,”katanya lagi

Kata Muhd Afiq lagi, beliau akan tetap berusaha mencari pekerjaan walaupun beliau sendiri tidak sihat demi memastikan mereka sekeluarga tidak berlapar.

Katanya lagi beliau berharap ada pihak yang prihatin dapat memberikan pekerjaan kepadanya agar dia dapat menyediakan baju raya kepada kelima-lima anaknya dalam merai Syawal yang disambut tidak lama lagi.

“Sebagai orang tua, kami tidak ada baju raya tak apa, asalkan anak-anak dapat merasa memakai baju raya,”katanya sedih..

Mereka yang bermurah hati untuk memberikan pekerjaan kepada beliau selain membantu meringankan penderitaan mereka boleh menghubungi Muhd Afiq di talian www.wasap.my/60108191673 .

photo kredit to Muhd Afiq
Next Post Previous Post