Atas nama perjuangan - ayah masuk penjara dua kali, ibu berkerja menjadi amah menyara kami - TPM Fadillah Yusof sebak kenang keperitan hidup

KUCHING-- Siapa sangka Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof yang sering dilihat tersenyum menyimpan seribu cerita kisah suka duka hidupnya sebelum bergelar "Yang Amat Berhormat". 

Mengimbau kisah hidup lalunya, Ahli Parlimen Petra Jaya itu menitis air mata apabila terkenangkan keperitan hidup ibu dan bapa dahulu. 

"Maafkan saya kerana tidak dapat menahan perasaan sebak ketika mengimbau sejarah perjuangan dan pengorbanan kedua-dua orang tua saya, ketika berucap di Majlis Kesyukuran Bersama Persatuan Penduduk Kampung Datu Sibu, di Kuching siang tadi.

"Saya telah berkongsi betapa asal usul kami sekeluarga bukanlah orang senang. 

"Arwah bapa saya dahulu adalah salah seorang daripada kalangan yang berjuang bersama Rosli Dhoby. 

"Bagaimana perjuangan mereka untuk memerdekakan Sarawak. Bagaimana mereka sanggup berkorban (dalam menentang penjajah), sehinggakan bapa saya dua kali dipenjara. 

"Bagaimana susahnya hidup mak saya mengambil upah jadi amah, mencuci pakaian di rumah orang, mengambil upah menjahit," ceritanya. 

Tambah Fadillah, inilah perjuangan untuk anak cucu yang perlu diteruskan.


Tegasnya, perjuangan untuk Sarawak bukannya mudah. 

"Berapa ramai pejuang kita yang mati di tali gantung. 

"Jadi kitalah yang akan meneruskan perjuangan mereka untuk anak cucu kita. 

"Jangan sama sekali lupa akan asal usul kita, akan kepayahan perjuangan pejuang terdahulu," ujarnya. 

Justeru, katanya, jadikan ia pembakar semangat untuk semua terus berjuang. 

"Di mana pun kita berada jangan lupa asal usul kita, jangan lupa akan perit jerih perjuangan orang tua kita. 

"Berkat perjuangan merekalah kita menikmati kemerdekaan dan keharmonian seperti hari ini, yang perlu terus kita pertahankan demi anak cucu kita di masa hadapan," katanya lagi.

Fadillah mendapat pendidikan awal di SRB St Mary Sibu sebelum ditaja Biasiswa Yayasan Sarawak untuk melanjutkan pelajaran ke ke SMK Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar, Perak dari tahun 1975 - 1981 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan mendapat Sarjana Muda Undang-Undang pada tahun 1986.

Sedikit sebanyak latarbelakang Timbalan Perdana Menteri dicatatkan pada pautan ini oleh Sinar Harian
Next Post Previous Post