8 tahun tunggu status kewarganegaraan, impian Francis lanjut pelajaran terbantut
MIRI-- Seorang anak muda hasil perkahwinan campur Kayan Kenyah-Indonesia masih bergelut dengan masalah kewarganegaraan meskipun tiga adik-beradiknya yang lain telah mendapat kerakyatan Malaysia.
Berkongsi kisah sedihnya itu, Francis Imannuel, 22, berkata, dia telah membuat permohonan kewarganegaraan sejak 2015 di Jabatan Pendaftaran Negara.
“Lapan tahun sudah berlalu, saya masih menunggu status kerakyatan saya, yang saya mohon semasa berumur 14 tahun di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.
"Semua rakan saya telah dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, namun saya terperangkap di sini kerana saya tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana status saya,” katanya dipetik menerusi laporan The Borneo Post baru-baru ini.
Tambah anak bongsu daripada empat adik-beradik itu, hanya dia sahaja yang masih belum mendapatkan status kewarganegaraan.
“Saya bukan anak angkat dan ibu bapa saya tidak mengambil saya dari mana-mana. Saya adalah anak kandung mereka dan nama bapa saya serta kewarganegaraannya tertera dengan jelas dalam sijil lahir saya sama seperti adik-beradik saya," jelasnya.
Disebabkan masalah itu, Francis kini terpaksa melupakan sementara impiannya untuk melanjutkan pelajaran dan bekerja sambilan sebagai pembantu jualan di sebuah kilang di Miri.
"Dari 2015, saya sering berulang-alik ke JPN Miri untuk memenuhi syarat permohonan status kewarganegaraan saya.
"Saya juga sering menyemak dalam laman sesawang tentang status kewarganegaraan tetapi hingga kini ia masih tidak berubah dan permohonan saya masih dalam proses," katanya.
Difahamkan bapa Francis adalah warganegara Malaysia yang berasal dari Long Ikang, Baram manakala ibunya seorang warga Indonesia.
Francis telah dilahirkan pada 21 Mac 2001 hasil perkahwinan pasangan tersebut yang direkodkan telah berkahwin mengikut adat Kayan Kenyah pada 11 Ogos 2000.