26 penduduk Rumah Michael di Ulu Stras terperangkap banjir dipindahkan ke lokasi selamat
BINTANGOR: Pasukan bomba bertindak menyelamatkan 26 penduduk dari Rumah Michael Ulu Stras yang terperangkap dalam banjir sejak awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak dalam kenyataannya hari ini berkata, kesemua mangsa yang turut melibatkan sembilan kanak-kanak itu dipindahkan oleh pasukan BBP Bintangor ke lokasi selamat pada jam 5.56 pagi tadi akibat bahagian bawah kediaman ditengelami air sehingga 4 kaki.
Pasukan PKO terus membuat kerja-kerja pemindahan mangsa menggunakan bot penyelamat serta pemasangan tali dari rumah yang banjir, dan kesemua mangsa banjir telah berjaya dipindahkan ke Kawasan rumah berdekatan yang lebih tinggi.
"Setakat ini, tiada PPS dibuka yang mana selepas selesai kerja-kerja pemindahan mangsa ke tempat yang selamat, pasukan bomba bertolak balik semula ke balai sebelum operasi menyelamat ditamatkan pada jam 7.30 pagi," ujarnya.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak