21 orang akur arahan penyelamat, 16 degil enggan dipindahkan
BETONG: Seramai 21 mangsa banjir dari rumah panjang Entalun Skrang dipindahkan ke PPS Dewan Johnical Rayong di Skim Skrang pada jam 5.56 petang tadi ekoran paras banjir yang semakin naik dan hampir mencecah geladak rumah panjang.
Jurucakap Pasukan Charlie BBP Betong berkata, sepasukan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan bagi menjalankan kerja-kerja pemindahan penduduk rumah panjang ke PPS.
"Sampai di lokasi, pasukan bomba bertindak memindahkan kesemua mangsa dengan menggunakan bot penyelamat ke kawasan tinggi," ujarnya.
Kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke PPS dengan menggunakan kenderaan Van Nissan Urban.
Bagaimanapun katanya, 16 penduduk masih lagi enggan dipindahkan yang mana pasukan bomba akan meneruskan pemantauan dari masa ke masa demi keselamatan mereka.
Setakat petang tadi katanya, paras air sudah mencecah 5 kaki yang mana dikhuatiri akan terus naik sekiranya hujan masih turun dan faktor air pasang penuh pada waktu malam.
Gambar BBP Betong