Waterfront Siniawan sepatutnya sudah siap, masih terbengkalai!
BAU -- Projek Waterfront Siniawan yang sepatutnya siap April tahun lalu masih "terbengkalai" dengan kemajuan projek hanya 52 peratus.
Sehubungan itu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang kecewa melihat keadaan itu meminta penjelasan berhubung kelewatan pembinaan projek Waterfront Siniawan tersebut daripada agensi pelaksana dan kontraktor yang dipertanggungjawabkan.
Jelasnya, masalah kelewatan projek itu disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh kepadanya.
Oleh itu, tegas Dr Sim kerajaan tidak akan teragak-agak untuk memberhentikan kontraktor kerana mereka tidak melaksanakan projek itu tepat pada masanya.
"Beliau (Miro) memaklumkan projek itu telah lama tertangguh, yang sepatutnya siap April tahun lepas, dengan hanya 52 peratus daripada kerja-kerja itu telah siap.
“Saya juga akan bercakap dengan agensi pelaksana iaitu Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) mengenai perkara ini dan mengapa projek ini tertangguh.
“Dalam masa yang sama, kami juga tidak teragak-agak untuk menamatkan kontraktor tetapi akan ada proses undang-undang untuk dilalui dan terdapat implikasi kewangan projek itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Chap Goh Mei di Pekan Warisan Siniawan di sini pada Ahad.
Perkara itu juga katanya akan dibawa kepada Timbalan Premier dan juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk mencari jalan penyelesaian bagi menangani masalah projek terbengkalai ini.
“Saya akan berjumpa dengan Uggah untuk membawa perkara ini, terutamanya mengenai pelantikan kontraktor baharu untuk projek itu menerusi tender terbuka,” katanya.
Sementara itu, Miro memberitahu, kontraktor projek 120 meter tepi sungai itu telah diberikan lanjutan masa sebanyak dua kali untuk menyiapkan projek tersebut.
Bagaimanapun, jelasnya, prestasi kontraktor berkenaan tidak memuaskan.
“Mereka perlu menyiapkan projek itu pada April, tetapi dilanjutkan untuk disiapkan pada Ogos tahun lepas.
“Sejak itu, tiada kemajuan langsung. Kemudian, lanjutan masa baharu diberikan kepada mereka untuk projek itu disiapkan menjelang Ogos tahun ini.
“Saya juga bertanya mengapa projek itu ditangguhkan. Saya tidak pernah dijemput menghadiri mesyuarat dengan agensi pelaksana untuk bercakap mengenai projek itu dan mengapa ia tertangguh sekian lama.
“Jika kedua-dua kontraktor dan agensi pelaksana tidak menjalankan tugas, merekalah yang harus dipersalahkan kerana mereka yang menghancurkan aspirasi rakyat, bukan saya,” tegasnya.
Beliau turut mendedahkan kos awal projek itu adalah kira-kira RM10.8 juta dan bidaan tender dimenangi sebanyak RM8.2 juta.
“Jika kita melihat tapak pembinaan itu, tiada pekerja melakukan kerja mereka, jadi saya tidak percaya mereka akan menyiapkannya menjelang Ogos tahun ini,” katanya lagi.