Wajarkah kerajaan halalkan lesen mercun?
KUALA LUMPUR— TERDESAK sangatkah kerajaan menambah pendapatan sehingga membenarkan semula penjualan dan permainan mercun yang diharamkan sejak 1995?
Itu antara persoalan yang dilemparkan oleh pengguna media sosial selepas kerajaan bersetuju membenarkan penjualan mercun dan bunga api dalam masa terdekat.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming baru-baru ini menyakinkan rakyat bahawa ‘penghalalan’ mercun dan bunga api ini dapat menyumbang ratusan juta hasil cukai kepada pendapatan negara.
Pada masa yang sama kata Nga, membolehkan kerajaan mengawal aktiviti penjualan produk ini di peringkat pemborong dan pengimport.
Jika ia dapat dilaksanakan, garis panduan jualannya berkuat kuasa pada Hari Raya Aidilfitri ini. Maka berdentum-dentamlah bunyi mercun pada malam menjelang sambutan Hari Raya dan berakhirnya bulan puasa.
Rata-rata netizen mempersoalkan kewajaran kementerian menghalalkan semula larangan itu dan berpendapat lebih banyak memberikan kesan buruk berbanding kebaikan, malah ada yang memberikan komen sinis dan tajam.
Mereka berpendapat, cadangan itu tidak mengambilkira soal keselamatan, keselesaan serta kesejahteraan rakyat. Apakah keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri?
“Takpa la, dah kurang la tugas jabatan kastam dan polis. Negara pun dapat income, kegiatan penyeludupan pun kurang. Tapi saja nak tanya, sebelum ni takda ke orang yang syorkan untuk halalkan penjuala bunga api ni, datang geng dia syorkan terus tiada bangkangan. Mudahkan..selamat bermain mercun,” sindir Aelieyas Mahmood
Ada Ku Kesah yang idak berpuas hati dengan alasan kerajaan itu berkata, “semata-mata untuk tambah pendapatan negara. Apa menteri-menteri kerajaan madani tak pandai buat kerja ke? Dah takda benda lain ke boleh tambahkan pendapatan negara? Sudah lama mercun diharamkan, penting sangatkan benda ini bagi mereka?
Abdul Halim Ahmad Tajuddin berkata, “Mercun ni bawa akibat baik atau buruk? Harap kerajaan kaji balik. Dah banyak kes kematian, kebakaran, kes kecederaan seperti buta dan putus jari. Dentuman kuat menyebabkan trauma kepada bayi, keracunan asap dari partikel kecil yang masuk ke paru-paru, pergaduhan jiran akibat gangguan bunyi. Selain itu berbahaya kepada mereka yang berpenyakit jantung, mencederakan organ pendengaran dan menganggu ketenteraman awam. Perdana Menteri tolong beri perhatian.”
Ezuanita Akhiar menambah, inilah kesannya apabila kerajaan sekadar mengejar untung dan menilai pada duit sahaja.
“Kerugian akibat bencana mercun letak di mana? Analisa tanpa melihat pro dan kontra. Ini ke konsep madani?
Adam Zharfan berkata, “Kementerian patut memikirkan semula cadangan itu. Mungkin ia hanya dibenarkan pada musim perayaan, bukan pada waktu lain.”
Netizen meluahkan, apakah ini sudah menjadi trend kerajaan Madani, luluskan apa sahaja yang menguntungkan kroni tanpa mengambil kira kebajikan majoriti rakyat yang bakal terkesan?
“Syabas.. main mercun baru ada madani, sindir Mahyudi Md Yusof.
Shahrudin berkata, “ Bila pula ada dalam manifesto Plihan Raya Umum Ke-15 pasai mercun ni., orang berkisah pasai kos sara hidup rakyat. Mercun ini bukan keutamaan pun.”
Roslan Rahim menulis, “ Disuruh lain buatnya lain. Disuruh baiki ekonomi dan taraf hidup rakyat masih tak menampakkan hasil sebaliknya benda yang tak berfaedah pula dibuatnya.”
Azhar Zainuddin berkata, “ Yang import dan tokey faham-faham je la. Yang beli dan main sampai putus jari dan kudung tangan faham je la, siapa yang untung siapa yang rugi. Yang untung…”
Dalam pada itu, ada juga netizen yang menyambut baik langkah kerajaan membenarkan penjualan dan permainan bunga api dan mercun.
Mohd Ikram Zainudin berkata, “Kalau dapat jana pendapatan negara apa salahnya. Tak dibenarkan sekarang pun berleluasa jual. Susah dah nak kekang. Cakap je benarkan penjualan mercun Pop Pop. Tapi penguatkuasaan pun susah nak kawal. Baik benarkan terus.
“Soal main putus jari bagai. Pandai-pandailah jaga diri sendiri. Soal bangsa, semua sama kalau sejenis main langgar je,” katanya.
Sementara itu Nga menambah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menentukan garis panduan untuk itu, manakala isu membabitkan duti akan ditetapkan Kementerian Kewangan.
Beliau berkata sebelum ini segala bentuk keuntungan melalui aktiviti penjualan mercun dan bunga api ini dikaut oleh sindiket yang membawa masuk produk itu ke dalam negara secara haram ketika musim perayaan.
“Di samping itu mengawal standard keselamatan produk yang boleh mengakibatkan kemalangan.
Sebelum ini arahan larangan bermain mercun dan bunga api diputuskan kerajaan pada 1995 di bawah Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).
Mereka yang ditangkap menjual bahan yang boleh meletup tanpa permit, boleh dipenjarakan selama tujuh tahun dan membayar denda RM10,000 di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957.