Tujuh termasuk remaja dan warga emas dicekup terlibat dadah di Batu Kawa
KUCHING-- Tujuh individu termasuk remaja dan warga emas dicekup pois disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah di sebuah rumah Jalan Sin San Tu, Batu Kawa, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tujuh lelaki yang ditangkap berusia antara 18 hingga 60 tahun dalam serbuan sekitar jam 12.30 tengah hari semalam oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Padawan.
"Semasa pemeriksaan dijalankan, salah seorang daripada suspek (suspek pertama) membuang sesuatu ke lantai dan kemudiannya telah diperiksa dan menjumpai satu paket plastik lutsinar sederhana besar di dalamnya terdapat empat paket plastik lutsinar kecil berlambang ’Smiley’ berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Syabu dengan berat kasar 1.47 gram," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan yang dilakukan ke atas suspek kedua pula telah menjumpai satu beg celoreng di dalamnya terdapat satu beg cermin mata warna hitam, dua paket plastik lutsinar besar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Syabu dengan berat kasar 35.10 gram, satu paket plastik lutsinar kecil berisi ketulan satu kerajang timah berwarna merah putih berisi dua biji pil disyaki Eramin 5 dan satu kerajang timah berwarna merah putih berisi satu biji pil disyaki Erimin 5 dengan berat kasar 0.77 gram beserta kad pengenalan suspek.
Pemeriksaan ke atas suspek ketiga pula, jelasnya telah menjumpai satu beg silang berwarna hitam di dalamya terdapat satu paket plastik lutsinar kecil berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Syabu dengan berat Kasar 0.50 gram dan kad pengenalan suspek.
Sementara itu, katanya, pemeriksaan terhadap suspek keempat hingga ketujuh pula tiada menjumpai apa-apa barang salah.
Tegas Abang Zainal, kesemua suspek serta barang kes dirampas dan dibawa ke Pejabat BSJND Padawan untuk tindakan selanjutnya.
"Jumlah berat dadah keseluruhan, dadah jenis Syabu 37.07 gram dianggarkan bernilai RM3,707, Pil Erimin 0.77 gram dianggarkan bernilai RM45," ujarnya.
Tambahnya, empat daripada suspek didapati positif dadah menerusi ujian saringan awal air kencing.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, siasatan awal mendapati suspek pertama mengaku barang kes yang dibuangnya adalah miliknya dan terlibat dengan penagihan dadah sejak hujung tahun 2020 dan mendapat bekalan dadah secara bank in dan dikutip di kawasan MJC Batu Kawa.
Sementara suspek kedua pula katanya, mengaku dadah yang dirampas adalah miliknya dan baru sahaja diperolehi 5 hari lepas dan terlibat dengan pengedaran dadah sejak tahun 2002 serta mendapat bekalan dadah secara bank in dan dikutip di kawasan BDC dan Batu 3, Kuching.
Manakala suspek ketiga mengaku dadah yang dirampas adalah miliknya dan terlibat dengan penagihan dadah sejak 2021 serta mendapat bekalan secara bank in dan akan mengutip bekalan di kawasan Stapok dan MJC Batu Kawa.
Tegasnya, reman ke atas semua suspek akan dimohon hari ini.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) akta yang sama.