Timbalan Menteri Kewangan taja bekas guru tunai umrah
KUALA LUMPUR-- Pepatah Melayu menyebut, bila dapat memandang bulan, jangan lupa rumput di bumi.
Pepatah ini bertepatan dengan perkongsian Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim Chee Kiong di Facebooknya hari ini.
Melalui hantaran itu, Sim berkongsi gambar Cikgu Zaniyah yang merupakan bekas guru kelas Tahun 1 semasa beliau menuntut di SRK Stowell.
Hampir 40 tahun, Sim yang kini memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Kewangan tidak pernah melupakan jasa baik Cikgu Zaniyah.
"Dialah pembuka pintu ilmu dalam hidup saya," katanya dalam hantaran itu.
Menurut Sim, pada 13 Februari lalu Cikgu Zaniyah bersara selepas 38 tahun berkhidmat di Stowell.
"Sebenarnya, saya sudah berjanji dengan Guru Besar Stowell untuk hadir di majlis persaraan Cikgu Zaniyah. Tapi kebetulan hari itu ada istiadat perasmian sidang Parlimen oleh Tuanku Agong.
Jadi saya terpaksa hantar wakil dan kirimkan sedikit hadiah buat Cikgu Zaniyah.
Saya belikan Cikgu sebuah Al-Quran digital yang siap dengan bacaan sekali. Mudah untuk Cikgu mendengar bacaan yang betul nanti," katanya.
Hari ini, sepulang dari Putrajaya beliau meluangkan masa melawat Cikgu Zaniyah di rumah untuk menyampaikan penghargaan kepada guru kesayangannya itu.
"Kami berborak mengenang kisah-kisah dulu. Dah hampir 40 tahun lamanya. Cerita tentang classmate, tentang guru-guru lain. Tentang Guru Besar ketika itu. Tentang ada seorang guru pakai tongkat yang sangat digeruni (yang tau tau la 😅). "
Bagi Sim, Cikgu Zaniyah bukan seorang guru yang garang tetapi sosok seorang ibu yang mahukan yang terbaik untuk anak-anak Tahun 1 ketika itu.
Katanya, kebaikan dan ketulusan Cikgu Zaniyah mendidik meninggalkan kesan dalam diri Sim.
"Saya tanya Cikgu Zaniyah apa rancangannya selepas bersara. Cikgu kata dia nak "balik belajar".
Saya ingat dia nak belajar master ke PhD, rupa-rupanya Cikgu berhasrat nak mengaji Al-Quran. Syukur. Sesuailah hadiah kecil saya itu buat Cikgu."
Sim turut menawarkan untuk membiayai Cikgu Zaniyah dan suami Pak Johari menunaikan umrah.
"Cikgu terkejut. Saya kata ini bukan duit kerajaan. Ini duit saya sendiri. Sebab Cikgulah orang yang pertama memberi ilmu kepada saya, maka saya pohon Cikgu halalkan segala rezeki yang saya dapat kerana pendidikan saya itu."
Syukur Cikgu Zaniyah dan suaminya merestui hasrat saya.
"Terima kasih Cikgu. Jasamu akan kukenang selagi nyawa dikandung badan. Semoga Cikgu sentiasa bahagia dan sihat walafiat di alam persaraan," katanya.
Sementara itu hantaran ini meruntun perasaan netizen yang terharu dengan sikap Sim yang merendah diri dan tidak pernah lupa daratan.
"Terbaik YB! seorang yg merendah diri dan sgt menghargai insan lain tanpa mengira bangsa serta agama.
Saya pasti perkara yg baik2 dan hebat2 akan sentiasa menyusuri perjalanan hidup YB."
"YB, setiap kali posting YB menyantuni rakyat setiap kalilah juga saya sebak nak megalirkan air mata..tkasih diatas segala jasa n usaha pada rakyat walau YB bkn MP kawasan saya..jln teruih!!!!."
"Sebagai seorang guru, saya sangat terharu. Alhamdulillah dan tahniah Cikgu Zaniyah. Sesungguhnya anda insan terpilih untuk menjadi pendidik kepada YB Steven Sim Chee Keong 沈志强 "